Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dadah hampir S$200,000 dirampas, 5 suspek diberkas

Dadah bernilai hampir S$200,000 dirampas manakala lima individu yang disyaki pesalah dadah diberkas sepanjang dua hari lalu, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (17 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Dadah hampir S$200,000 dirampas, 5 suspek diberkas

Dadah heroin dan wang tunai yang dirampas oleh para pegawai SPF daripada seorang lelaki rakyat Singapura pada 16 Ogos. (Gambar: CNB, SPF)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 09:48PM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 09:52PM

SINGAPURA: Dadah bernilai hampir S$200,000 dirampas manakala lima individu yang disyaki pesalah dadah diberkas sepanjang dua hari lalu, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (17 Ogos).

Menyifatkannya sebagai rampasan "besar", pihak berkuasa menyatakan bahawa jumlah dadah sebanyak 2.8 kilogram heroin, 257 gram ganja dan 38 gram Ice, itu cukup untuk memenuhi ketagihan sekitar 1,400 penagih dadah selama seminggu.

Seorang lelaki rakyat Singapura, berusia 52 tahun dan seorang wanita warga Malaysia, 24 tahun, diberkas di kawasan Jurong Gateway Road pada Rabu (15 Ogos). Para pegawai CNB mengesan mereka bertemu di sebuah perhentian teksi sebelum berpisah.

Para pegawai CNB menemui dadah heroin seberat 470 gram dalam beg suspek lelaki dan merampas wang tunai S$2,800 daripada wanita itu.

Pada hari yang sama, para pegawai CNB menangkap seorang lelaki rakyat Singapura, berusia 62 tahun, di kawasan Ang Mo Kio Street 64. Lelaki itu disyaki mengedar dadah dan dipercayai mengenali lelaki yang ditangkap sebelum ini.

Para pegawai CNB memeriksa kenderaannya dan menjumpai dadah heroin seberat 132 gram serta jumlah kecil dadah Ice. Bungkusan kecil dadah heroin turut ditemui di lantai bersebelahan kenderaan tersebut.

Para pegawai juga menemui dadah heroin seberat 90 gram dan tujuh gram Ice di rumahnya.

Pihak berkuasa menambah bahawa seorang lelaki rakyat Singapura berusia 57 tahun, yang disyaki menyalahguna dadah, turut diberkas.

Pada Khamis (16 Ogos) pula, para pegawai SPF yang sedang melakukan rondaan di Geylang Lorong 20 sejurus selepas tengah malam menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki dan menemui apa yang dipercayai sebagai dadah terkawal.

Suspek cuba melarikan diri tetapi rakyat Singapura berusia 49 tahun itu diberkas tidak lama kemudian. Polis menemui 2.1 kilogram dadah heroin, 257 gram ganja dan 30 gram Ice di dalam begnya. Wang tunai lebih S$3,000 juga ditemui.

Siasatan ke atas kegiatan dadah kesemua suspek sedang dijalankan.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan