Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cukai dagangan AS: 'Tempoh membimbangkan' bagi S'pura

Cukai baru perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap import keluli dan aluminium dan desakan susulan oleh beberapa negara untuk dikecualikan meramalkan berlakunya "perubahan besar terhadap landskap perdagangan antarabangsa", menurut Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong pada Ahad.

Anggaran Waktu Membaca:
Cukai dagangan AS: 'Tempoh membimbangkan' bagi S'pura

Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong. (Gambar: AFP/Kazuhiro Nogi)

Diterbitkan : 12 Mar 2018 12:19PM Dikemas Kini : 12 Mar 2018 12:23PM

SINGAPURA: Cukai baru perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap import keluli dan aluminium dan desakan susulan oleh beberapa negara untuk dikecualikan meramalkan berlakunya "perubahan besar terhadap landskap perdagangan antarabangsa", menurut Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong pada Ahad (11 Mac).

Dalam catatannya di laman Facebook, Encik Goh berkata perubahan tersebut "tidak bagus bagi dunia, dan khususnya bagi negara seperti Singapura yang bergantung kepada perdagangan dan sekitaran ekonomi terbuka".

Presiden Amerika Donald Trump mengumumkan cukai 25 peratus terhadap keluli yang diimport dan 10 peratus terhadap aluminium Khamis lalu, yang akan berkuat kuasa dalam masa 15 hari lagi. Langkah berkenaan mencetuskan kebimbangan akan berlakunya perang perdagangan, yang boleh menaikkan harga dan melembabkan pertumbuhan di seluruh dunia.

Meskipun cukai itu juga dikenakan terhadap negara sekutu Amerika, ia boleh berunding untuk mendapatkan pengecualian atau cukai lebih rendah, jelas Encik Goh.

"Jadi, seperti yang dikatakan Kanselor Jerman Angela Merkel, 'Ia benar-benar atas urusan perniagaan'."

Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun menggesa Amerika memberikan pengecualian cukai import logam kepada pihaknya, manakala Kanada, Mexico dan Australia dijangka diberi kelonggaran.

Desakan antara negara itu mencerminkan usaha pemeteraian perjanjian dua hala yang sedang dilakukan Presiden Amerika Donald Trump, jelas Encik Goh, sambil berkata: "Amerika seolah-olah ahli sumo yang sungguh hebat dan dengan mudah menewaskan ahli sumo lain yang lebih lemah."

Encik Goh mengatakan jika Amerika berjaya "membuat rundingan dua hala kukuh bagi cukai", negara berpengaruh lain mungkin akan mengikut jejaknya.

"Menjangkaui perdagangan, sistem antarabangsa liberal sedia ada di mana negara dapat makmur, sudah mula berpecah," katanya.

"China mungkin mengisi tempat yang ditinggalkan dasar "Utamakan Amerika", tetapi ia akan membawa nilai dan peraturan yang berbeza," menurutnya.

"Dalam dunia di mana, seperti Lee Kuan Yew pernah berkata, 'Ikan besar makan ikan kecil, ikan kecil makan udang', ini adalah tempoh membimbangkan bagi Singapura. Inilah sebabnya Singapura dan 10 negara lain memeterai Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) bagi terus menjadikan perdagangan antarabangsa terbuka dan berlandaskan peraturan. Semoga negara yang rasional berjaya."

Menteri Perniagaan China Zhong Shan menyelar cukai Amerika pada Ahad sambil berkata: "Tiada pihak yang menang dalam perang perdagangan. Ia hanya akan menimpakan bencana ke atas China dan Amerika Syarikat dan seluruh dunia."

Amerika adalah pengimport terbesar keluli, di mana ia membeli 35 juta tan bahan mentah pada tahun 2017. Daripada barangan import itu, Korea Selatan, Jepun, China dan India membentuk 6.6 juta tan.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan