Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNB lancar 4 video antidadah dalam kempen kreatif kekang dadah dalam masyarakat Melayu

Buat pertama kalinya Biro Narkotik Pusat (CNB) melancarkan bukan satu, bukan dua tetapi empat video antidadah sekaligus.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Buat pertama kalinya Biro Narkotik Pusat (CNB) melancarkan bukan satu, bukan dua tetapi empat video antidadah sekaligus. Ini sebagai sebahagian daripada usaha kreatif badan tersebut untuk memberitahu golongan muda supaya jangan terjebak dengan dadah.

Uniknya video-video itu, ia menonjolkan mesej-mesej antidadah berasaskan ajaran dan nilai-nilai agama Islam. Ini diharap dapat mewujudkan kesedaran bahawa sama seperti meminum arak dan memakan daging babi, hukum menyalahgunakan dadah juga haram.

Lantaran itu, Pakatan Dadah itu Haram, yang terdiri daripada Pertubuhan-Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO), badan-badan Melayu/Islam (MMO), kumpulan-kumpulan agama, masyarakat seni, belia dan Biro Narkotik Pusat (CNB), berganding bahu bagi memastikan mesej yang ingin diketengahkan benar-benar ‘sampai’ kepada penonton.

Menerusi video-video itu juga anda akan dapat memahami motivasi dan kesulitan yang diharungi bekas-bekas pesalah dadah dan bagaimana mereka kembali ke pangkal jalan dengan berpaut pada agama serta keluarga.

Encik Amrin Amin bersama mereka yang terlibat dalam pembikinan video bagi kempen Dadah Itu Haram. (Gambar-gambar: Dadah Itu Haram)

Encik Amrin Amin bersama mereka yang terlibat dalam pembikinan video bagi kempen Dadah Itu Haram. (Gambar: Dadah Itu Haram/Facebook)

Kesemua empat video itu dilancarkan oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin, di restoran Kaw Kaw Sg semalam (21 Sep).

Menurut statistik CNB mengenai penyalahgunaan dadah mengikut pecahan kaum di Singapura, jumlah pesalah dadah dalam kalangan orang Melayu berkurangan dalam tempoh tiga tahun.

Tahun lalu, jumlahnya 1,618 kes, berbanding 1,713 kes pada 2016 dan 1,738 pada tahun 2015.

Encik Amrin Amin bersama mereka yang terlibat dalam pembikinan video bagi kempen Dadah Itu Haram. (Gambar-gambar: Dadah Itu Haram)

(Gambar: Dadah Itu Haram/Facebook)

Sekalipun demikian, jumlah pesalah dadah Melayu masih lagi tinggi jika dibandingkan dengan pesalah dadah masyarakat lain.

Maka, usaha terbaru dalam kempen Dadah Itu Haram (DIH) kali ini mengambil pendekatan yang dilihat lebih dekat dengan masyarakat Melayu /Islam.

“Kempen video-video Dadah Itu Haram ini merupakan usaha berterusan untuk mendekati segmen-segmen masyarakat Melayu/Islam dengan lebih terperinci lagi. Penggunaan video dan media sosial akan memberangsangkan lagi penyebaran mesej DIH terutama sekali kepada golongan muda,” kata Encik Amrin.

Encik Amrin Amin bersama mereka yang terlibat dalam pembikinan video bagi kempen Dadah Itu Haram. (Gambar-gambar: Dadah Itu Haram)

(Gambar: Dadah Itu Haram/Facebook)

Beliau menambah, mesej-mesej antidadah seperti yang disampaikan menerusi video-video tersebut “datang dari masyarakat itu sendiri. Dari nadi dan hati masyarakat untuk masyarakat”.

Melalui usaha-usaha yang berterusan dari semua pihak dan golongan masyarakat, kita akan dapat menerapkan dengan lebih kukuh, larangan agama dalam salah guna dadah.

Dengan ini, ia akan memperkasakan masyarakat Melayu/Islam tempatan untuk menjadi masyarakat yang bebas dadah, kata Encik Amrin.

Untuk menjayakan inisiatif terbaru itu, pakatan tersebut bekerjasama dengan empat penerbit tempatan, salah seorang daripadanya - pembikin filem Sanif Olek.

Ternyata karya-karya yang dihasilkan itu bukan biasa-biasa. Sebaliknya, ia datang daripada jiwa para penerbitnya yang benar-benar menghayati mesej yang ingin disampaikan - iaitu kemusnahan akibat najis dadah.

Video-video tersebut juga menekankan pentingnya sistem sokongan baik dari keluarga mahupun masyarakat dalam membantu bekas pesalah dadah kembali ke pangkal jalan.

Filem pendek arahan Encik Sanif, yang menampilkan pelakon Nick Mikhail dan Ain Aksan, adalah monolog dalaman seorang bekas pesalah dadah yang berasa seolah-olah putus harapan dek disisihkan masyarakat dan merintih agar dirinya diterima dan diberikan harapan untuk membuka lembaran hidup yang baru.

Monolog yang diluahkan itu adalah puisi antidadah yang ditulis oleh Muhammad Salihin Sulaiman Jeem, pemenang Hadiah Sastera Singapura 2018.

Encik Sanif memberitahu BERITAmediacorp, konsep video itu adalah berdasarkan tiga faktor utama yang diperolehi menerusi kajian yang beliau jalankan.

“Pertama, begitu cepat dan mudah untuk seseorang bekas pesalah dadah berpatah balik. Kedua, perjalanan untuk pulih datang dari dua pihak (keluarga dan masyarakat serta individu pesalah itu sendiri. Ketiga, masyarakat cenderung untuk meletakkan perbuatan jahat dan baik sebagai ‘hitam putih’,” ujar Encik Sanif.

Menerusi video itu, beliau ingin masyarakat mengetahui bahawa jalan untuk berubah dan keluar daripada kancah dadah tidak mustahil dengan adanya bantuan semua pihak.

Lagi tiga video lain juga mempunyai ciri dan tema tersendiri.

Video arahan Shaiful Reezal ini menekankan perlunya mengajarkan pengetahuan agama kepada anak-anak demi melindungi mereka daripada pengaruh-pengaruh negatif dadah dan sebagainya. Ini selain prinsip agama Islam yang melarang pengambilan arak kerana ia menjejas keupayaan intelek, kesihatan dan iman.

Encik Amrin Amin bersama mereka yang terlibat dalam pembikinan video bagi kempen Dadah Itu Haram. (Gambar-gambar: Dadah Itu Haram)

(Gambar: Dadah Itu Haram/Facebook)

Video berikut ini pula mengongsi pengalaman menyayat hati seorang bekas pesalah dadah yang menyedari di kala beliau ‘tersungkur’ dan dipenjara akibat dadah, satu-satunya sumber harapan dan kasih sayang yang tinggal adalah keluarga dan isterinya. Inilah yang membantu beliau bangkit untuk mengubah dirinya ke arah yang lebih baik dan menjauhi dadah.

Video keempat pula menampilkan dua ustaz, yang salah seorang daripadanya merupakan bekas pesalah dadah. Kedua-dua berkongsi dorongan mereka menubuhkan sebuah kelas agama bagi para bekas pesalah dadah.

Menerusi kempen terbaru DIH ini, Encik Amrin berharap lebih ramai tampil membantu dalam usaha membanteras dadah.

“Sebarkan mesej dadah itu haram dan juga membantu menolong mereka yang memerlukan memberi peluang kepada anak-anak muda kembali ke pangkal jalan atau kalau boleh tidak terjebak langsung dalam hal ini. Ini bermakna mereka mesti menjalani kehidupan yang baik.

“Melalui usaha-usaha yang berterusan dari semua pihak dan golongan masyarakat, kita akan dapat menerapkan dengan lebih kukuh, larangan ugama dalam salah guna dadah. Dan dengan ini, kita akan memperkasakan masyarakat Melayu/Islam kita untuk menjadi masyarakat yang bebas dadah!” kata Encik Amrin Amin.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan