Images
  • china singapore flag
    Gambar fail bendera Singapura dan China. 

China tidak manipulasi negara lain, tegas Duta China

SINGAPURA: Duta Besar China di Singapura, Hong Xiaoyong membalas kenyataan duta Singapura yang sudah bersara Bilahari Kausikan.

Dalam satu forum, Encik Kausikan mengatakan bahawa China secara senyap-senyap cuba "mempengaruhi operasi" (perdagangan dunia). Lantaran itu, Encik Kausikan memberi amaran bahawa Singapura perlu berhati-hati. Encik Hong menyifatkan komen itu sebagai "tidak adil dan tidak tepat".

Menurut The Straits Times, ucapan Encik Kausikan menggariskan bahawa China menyerlah daripada negara-negara lain yang "memujuk, mendorong dan mendesak".

Beliau juga mendakwa bahawa China sering menggunakan naratif-naratif yang tidak jelas dan memberikan tiada pilihan lain kepada negara-negara terbabit, lapor The Straits Times.

"China tidak hanya ingin anda memenuhi keinginannya... ia inginkan anda membuat keputusan yang diinginkan tanpa disuruh," kata Encik Kausikan.

"Jika China cuba menerapkan identiti China ke atas Singapura, kita mesti menolaknya, kerana Singapura yang moden adalah sebuah negara yang berbilang kaum," tambah beliau.

Respons Encik Hong terhadap kenyataan Encik Kausikan diterbitkan dalam The Straits Times hari ini (12 Jul). Menurut Encik Hong, kenyataan Encik Kausikan "jauh berbeza daripada realiti dan ia memberi negara lain gambaran kurang baik tentang China".

Encik Hong berkata: "Setiap negara mahu diiktiraf dan mendapat sokongan bagi pendiriannya dalam membangunkan negara dan dasar-dasar luar negara. China juga begitu. Tidak seperti sesetengah negara, bagaimanapun, China tidak mempengaruhi negara lain untuk mengikut ideologi dan model pembangunannya," kata Encik Hong.

Beliau menambah, China kerap menjadi "sasaran yang tak berasas", kerana sebahagian besar media global dikuasai Barat.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China menjalankan pelbagai usaha untuk melaksanakan tanggungjawabnya dan menjalankan inisiatif di peringkat global dan rantau, termasuk Jaluran Ekonomi Laluan Sutera dan Bank Pelaburan Prasarana Asia. Ini mendapat respons yang memberangsangkan daripada banyak negara, bukan atas dasar manipulasi tetapi kerana ia memenuhi kepentingan pihak-pihak lain dan membuka peluang untuk pembangunan bersama," kata Encik Hong.

Beliau turut menegaskan bahawa China "pemacu" pertumbuhan ekonomi global, dan ia sentiasa bersedia untuk mengongsi peluang-peluang pembangunan dengan negara lain, tanpa mempengaruhi mereka untuk mengikuti modelnya.  

- CNA/AQ/aq

Top