Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Casa Raudha ingin pecahkan lingkaran keganasan keluarga menerusi anjuran sidang sulungnya

Sejak 2008, seramai 14 wanita berusia lebih 60 tahun dirujukkan ke Rumah Wanita Casa Raudha kerana menjadi mangsa penderaan. Angka itu mungkin nampak masih agak kecil, namun 11 atau tiga suku daripada mereka didera oleh suami atau anak mereka sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak 2008, seramai 14 wanita berusia lebih 60 tahun dirujukkan ke Rumah Wanita Casa Raudha kerana menjadi mangsa penderaan.

Angka itu mungkin masih agak kecil, namun 11 atau tiga suku daripada mereka didera oleh suami atau anak mereka sendiri.

Demikian menurut Pengerusi Casa Raudha Ltd (CRL), Encik Hamzah Abdul Mutalib.

Beliau berkata keadaan itu juga menimbulkan kebimbangan besar terhadap masalah keganasan keluarga di sini kerana jumlah kes yang diterima mungkin hanya sebahagian kecil daripada jumlah sebenar kes-kes keganasan terhadap warga tua yang seringkali tidak dilaporkan.

Beliau berkata demikian semasa berucap di sidang 'Target Zero Domestik Violence' hari ini (2 Ogos) anjuran bersama CRL dan Rumah Wanita Casa Raudha.

Matlamat utama sidang itu adalah untuk berkongsi pengalaman serta mencari huraian terbaik bagi memecahkan lingkaran keganasan keluarga sebelum ia berlarutan ke generasi seterusnya.

PENCEGAHAN AWAL BAGI HENTIKAN LINGKARAN KEGANASAN KELUARGA

Encik Hamzah percaya, untuk menghentikan lingkaran itu, langkah pencegahan awal perlu diambil, terutamanya bagi kanak-kanak yang menjadi saksi atau mangsa kepada keganasan keluarga.

"Kalau perkara ini tidak kita tangani dari awal, pendera yang sekarang ini akan mendera mangsanya dan mangsanya, terutamanya kanak-kanak yang menyaksikan akan membesar dan akan (kemudian) menjadi pendera. Dan ini adalah satu lingkaran yang harus kita hentikan," tekan beliau semasa ditemui di luar sidang itu.

Namun tambah Encik Hamzah, bantuan dan bimbingan kepada pendera juga harus dipertingkat.

"Ini bukan soal betul atau salah tetapi bagaimana untuk kita teruskan hidup secara lebih positif supaya keluarga yang dahulunya berpecah belah dapat menjadi sebuah keluarga yang kuat dan padu. Ini yang akan kami usahakan supaya kedua-dua pihak mendapat sokongan," jelas beliau.

'PENCEGAHAN, PERLINDUNGAN DAN PEMULIHAN'

Malah perkara itu sudahpun dimulakan pihak CRL sejak Mac lalu dengan pelaksanaan rangka kerja yang memberi tumpuan kepada tiga aspek, iaitu Pencegahan, Perlindungan dan Pemulihan.

Salah satu inisiatif terbarunya adalah khidmat pengantaraan antara isteri dengan dengan suami yang mendera bagi menyatukan semula keluarga yang menderita akibat masalah keganasan rumahtangga.

Menurut Presiden Rumah Wanita Casa Raudha Encik Abdul Rohim Sarip, maklum balas terhadap program-program baru sedemikian amat positif setakat ini.

Bagaimanapun beliau akui perjalanan untuk mencapai sasaran tiada keganasan keluarga 'masih agak jauh' dengan jumlah pemohonan perlindungan terhadap anggota keluarga yang mendera masih dianggap tinggi.

"Kalau kita tengok statistik atau fakta-fakta daripada MSF, ia menunjukkan pemohonan untuk mendapatkan PPO atau Perintah Perlindungan Peribadi masih banyak. Tahun 2017, dalam 2,000 permohonan di buat di mahkamah keluarga. Walaupun kadarnya telah turun, saya rasa masih tinggi" ulas beliau, yang juga seorang peguam veteran.

Oleh itu, untuk mencapai sasaran tiada keganasan, beliau percaya masyarakat perlu mengambil sikap tiada toleransi terhadap keganasan keluarga. Ini boleh dilakukan menerusi pemberian hukuman yang setimpal selain didikan awam untuk meningkatkan kesedaran ramai tentang akibat menggunakan kekerasan.

"Kita semua mesti terapkan sikap yang kita tidak boleh menerima sama sekali keganasan dan semua ini harus kita terapkan kepada masyarakat, keluarga dan sesiapa yang terlibat dalam isu keluarga," tegas beliau.

MEMIKIRKAN HURAIAN KEGANASAN SECARA KOLEKTIF

Sidang 'Target Zero Domestik Violence' hari ini merupakan anjuran sulung Casa Raudha sejak ia ditubuhkan 10 tahun lalu. Ia menghimpunkan sekitar 120 pakar serta pekerja sosial yang berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes keganasan dalam keluarga.

Usaha itu mendapat pujian tetamu terhormat Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Keluarga dan Sosial (MSF), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim. Menurutnya, sidang itu menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam mengukuhkan kerjasama antara pelbagai agensi dalam membanteras keganasan dalam keluarga.

Bagi Pengerusi CRL Encik Hamzah, kerjasama itu merupakan antara matlamat utama sidang tersebut, iaitu memikirkan huraian yang lebih berkesan secara kolektif kerana beliau percaya tiada satu badan yang dapat secara lengkap menawarkan penawar bagi masalah keganasan dalam keluarga.

"Dengan adanya semua pihak dan agensi-agensi yang ada kaitan dengan keganasan rumahtangga, kita lebih fokus dan bersepadu dalam melaksanakan program-program ke hadapan," tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan