Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Caltex siasat kejadian pemandu BMW enggan bayar S$135 dan atendan warga tua bayar bakinya

Chevron Singapore, syarikat yang memasarkan jenama Caltex di Singapura, menyatakan hari ini (15 Apr) bahawa ia sedang menjalankan siasatan berhubung satu insiden yang berlaku di salah satu cawangannya di Tampines. Ini selepas satu catatan Facebook menjadi viral.

Anggaran Waktu Membaca:
Caltex siasat kejadian pemandu BMW enggan bayar S$135 dan atendan warga tua bayar bakinya

Petikan gambar Google Street View.

Diterbitkan : 15 Apr 2018 05:47PM Dikemas Kini : 15 Apr 2018 05:49PM

SINGAPURA: Chevron Singapore, syarikat yang memasarkan jenama Caltex di Singapura, menyatakan hari ini (15 Apr) bahawa ia sedang menjalankan siasatan berhubung satu insiden yang berlaku di salah satu cawangannya di Tampines. Ini selepas satu catatan Facebook menjadi viral.

Cik Kelly Yeo, pengguna yang menulis catatan Facebook tersebut, menerangkan dengan terperinci tentang seorang pelanggan yang enggan membayar S$135 di stesen minyak Tampines Avenue 8 kerana mengaku hanya menyuruh atendan pam mengisi petrol bernilai S$10.

Kakitangan warga emas yang melayan pelanggan tersebut dipanggil untuk memberi penjelasan.

"Atendan itu berkata beliau terdengar pelanggan memesan supaya tangki minyak keretanya diisi penuh namun pelanggan itu berkata sebaliknya," kata Cik Yeo seperti ditukil daripada catatan Facebooknya. Catatan itu dikongsi lebih 3,000 kali.

"Apa yang berlaku selepas itu membuat saya berasa hairan. Atendan warga tua itu tidak bertengkar dengan pelanggan tersebut, sebaliknya dengan tenang memberitahu juruwang untuk membiarkan pelanggan itu membayar S$10 dan beliau menawarkan untuk membayar selebihnya.

"Pelanggan itu kemudian membayar hanya S$10 bagi petrol yang mengisi penuh tangki minyaknya lalu meninggalkan tempat itu dengan bersahaja dalam BMW Siri 5," tambah Cik Yeo.

Ramai yang mengkritik perbuatan pelanggan itu. Malah sesetengah pengguna Facebook menawarkan untuk membantu atendan tersebut dengan membayar baki S$125.

"Caltex, jika ini benar, sila hubungi saya. Saya akan membayar kembali apa yang atendan itu bayar," kata seorang pengguna Facebook.

"Kepada Caltex, saya akan membayar bagi pihak pak cik itu. Tidak salah untuk menunjukkan sedikit sikap kemanusiaan terhadap pekerja warga emas. Beliau mungkin sedang bekerja meski sudah lanjut usia kerana ingin menyara kehidupan keluarganya," kata seorang lagi pengguna Facebook.

Pada petang tadi (15 Apr), seorang jurucakap Chevron berkata pengurus stesen minyak itu serta pasukan pengurusan sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut. Mereka juga memberi jaminam bahawa atendan pam tersebut "tidak akan memikul tanggung jawab untuk membuat sebarang bayaran" yang dikenakan dalam kejadian 14 April.

Caltex Singapura turut mengucapkan terima kasih kepada para pengguna online di atas "keprihatinan dan kebaikan" mereka, selain berkata ia "berbesar hati dengan perpaduan dan keprihatinan" yang ditunjukkan kepada pasukannya di Tampines.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan