Burung terancam Shoebill ditampilkan sekali lagi di Taman Burung Jurong
Taman Burung Jurong berhasil mendapatkan dua ekor burung Shoebill untuk pamerannya, satu-satunya institusi zoologi di Asia Tenggara di mana pengunjung boleh melihat spesies burung itu, menurut satu kenyataan media (12 Jul).
SINGAPURA: Berita baik bagi pencinta burung - Taman Burung Jurong berhasil mendapatkan dua ekor burung Shoebill untuk pameran tanah lembapnya.
Ketibaan dua ekor burung itu akan menjadikan Taman Burung Jurong satu-satunya institusi zoologi di Asia Tenggara di mana pengunjung boleh melihat spesies burung itu, menurut Wildlife Reserves Singapore (WRS) dalam kenyataan medianya hari ni (12 Jul).
Burung-burung itu - seekor jantan berusia 11 tahun dan betina berusia 17 tahun - diterbangkan dari Qatar pada Jun dan akan disatukan dengan burung-burung tanah lembap lain di taman itu yang merupakan spesies terancam.
Burung-burung Shoebill, yang juga dikenali sebagai Balaeniceps rex, diklasifikasikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Senarai Merah Spesies Terancam.
Burung-burung ini menghadapi ancaman seperti kehilangan habitat dan pemerdagangan hidupan liar secara haram.
Setakat ini, terdapat hanya 30 burung Shoebill di dunia di bawah jagaan manusia dan kira-kira 5,000 hingga 8,000 burung yang masih hidup di hutan, menurut WRS.
Burung-burung ini - yang boleh hidup selama 35 tahun di hutan - dinamakan Shoebill disebabkan paruhnya yang berbentuk seperti kasut dan sepanjang 20 sentimer. Ia juga mempunyai cangkuk yang tajam di hujung paruhnya untuk membunuh mangsa.
Walaupun diet asas burung-burung ini adalah ikan, burung-burung Shoebill juga memakan haiwan amfibia, ular, tikus dan juga anak buaya.
Taman Burung Jurong pertama kali menampilkan burung Shoebill pada 1995, dan spesimen terakhirnya mati pada 2015.
WRS menyatakan taman itu berharap untuk membiakkan dua ekor burung Shoebill walaupun ia jarang berlaku di bawah jagaan manusia.
"Dengan hanya dua kes pembiakan yang berjaya di bawah jagaan manusia, Taman Burung Jurong berharap dapat membiakkan dua burung itu agar dapat memahami dengan lebih baik lagi tentang biologi spesies yang mengagumkan ini," menurut WRS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.