Images
  • bulan bahasa 2nd main
    (Gambar: Fariza Abdul Aziz/BERITAMediacorp)

Bulan Bahasa lebih rancak dengan penyertaan MAEC dan kelab-kelab masyarakat baru

SINGAPURA: Kempen Bulan Bahasa 2018 dijangka lebih rancak dengan sokongan beberapa badan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) yang baru.

Sempena meraikan titik tolak penting penganjuran Bulan Bahasa selama 30 tahun, kegiatan-kegiatan lalu yang popular juga akan dihidupkan kembali dengan suntikan nafas baru.

Melalui tema 'Ilmu, Budaya, Mesra', Bulan Bahasa 2018 menawarkan kerencaman aktiviti yang berteraskan ketiga-tiga aspek itu.

Bagi memperingati kejayaan kempen tersebut sepanjang 30 tahun lalu, kegiatan-kegiatan dan unsur-unsur lama yang diminati ramai akan dihidupkan semula dengan suntikan segar.

Misalnya, lagu tema 'Bahasa Menjunjung Budaya' karangan Allahyarham Pendeta Muhammad Ariff Ahmad yang digubah oleh Cikgu Abdolah Lamat, disusun semula dengan rentak moden.

Buat julung-julung kalinya juga, lagu tersebut turut dilengkapi dengan gerak tari bagi meningkatkan penghayatan orang ramai terhadap bahasa dan budaya Melayu.

Gerak tari itu akan dipersembahkan secara beramai-ramai sewaktu pelancaran Bulan Bahasa di Wisma Geylang Serai pada 1 September nanti.

Di peringkat kejiranan pula, sokongan padu kian dirasai.

Kegiatan-kegiatan 'semarak' yang menyerlahkan keindahan Bahasa Melayu menerusi budaya dan warisan akan terus dipergiatkan di estet-estet perumahan dengan pelibatan beberapa badan MAEC dan kelab masyarakat yang baru.

Antaranya MAEC Kelab Masyarakat Braddell Heights, Tampines Changkat, Marsiling dan Hillview.

"Seperti kita sedia maklum, acara bulan bahasa adalah sesuatu yang ingin kita bawa ke estet-estet perumahan. Dan penting untuk MAEC-MAEC dalam tempat masing-masing untuk mengambil bahagian. Tahun ini juga kita ada melihat peningkatan dalam pelibatan MAEC-MAEC di serata Singapura. Ini penting kerana ini akan membantu untuk membawa Bahasa Melayu di peringkat masyarakat," jelas Cik Rahayu Mahzam, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa.

Sebagai usaha berterusan menyemai kecintaan terhadap Bahasa Melayu dalam kalangan golongan belia ke bawah terutamanya, dua personaliti muda - pelakon Farhana M Noor dan penyanyi serta penggubah lagu Bakti Khair - dilantik menjadi Duta Bahasa 2018.

Turut sama menyandang gelaran itu ialah cef selebriti terkenal, Shahrizal Salleh, atau lebih dikenali sebagai Cef Bob.

"Saya harap saya boleh menggunakan laman media sosial saya untuk menggalakkan lagi penggunaan bahasa Melayu kita. Macam, saya buat vlog atau video masak," kongsi Cef Bob.

"Mungkin bila saya lakukan aktiviti-aktiviti di sekolah dengan kanak-kanak sekolah, bila saya mainkan permainan dengan mereka, galakkan Bahasa Mealyu, saya akan muatnaikkan di media sosial. Jadi orang lain pun lihat, macam ibu bapa lihat, 'Oh permainan ini saya boleh main dengan anak-anak saya' untuk mereka memperbaiki lagi Bahasa Melayu mereka," ulas Farhana M Noor tentang rancangannya bagi menggalak penggunaan Bahasa Melayu.

Dan bagi 'menggerakkan' sambutan Bulan Bahasa yang bakal menjelang, promosi kempen tahunan itu sudah pun dipaparkan pada lima bas SBS Transit mulai Sabtu lalu. 

- BERITAMediacorp/tq

Top