Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bulan Bahasa dilancarkan di estet kejiranan Nee Soon

Lebih banyak estet perumahan dijangka mengadakan kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan Bulan Bahasa pada masa-masa akan datang. Demikian dibayangkan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu (MBMS), Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak estet perumahan dijangka mengadakan kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan Bulan Bahasa pada masa-masa akan datang.

Demikian dibayangkan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu (MBMS), Dr Muhammad Faishal Ibrahim, selepas majlis pelancaran Semarak Warisan Budaya Dijunjung, sempena Bulan Bahasa di estet kejiranan Nee Soon semalam (15 Sep)

Mengulas lebih lanjut beliau berkata aktiviti-aktiviti yang melibatkan budaya dan bahasa Melayu yang dianjurkan bersempena Bulan Bahasa akan dipertingkatkan dan lebih kerap dibawa ke estet-estet perumahan dalam tahun-tahun mendatang.

Selain bertujuan menyemarakkan lagi warisan Melayu, ia juga berharap dapat menyemai penghargaan dan penghayatan budaya khususnya dalam kalangan generasi muda.

Berkongsi bersama BERITAmediacorp, Encik Faishal berkata beliau berasa bangga melihat bagaimana kini lebih ramai anak-anak muda yang selesa menggunakan bahasa Melayu.

"Apabila mereka mempersembahkan kita dapat lihat keyakinan, kita dapat melihat keselesaan dan juga kita dapat melihat bagaimana mereka bukan sahaja menyanyi, mengadakan fiesta tapi mereka faham apa yang mereka nyatakan di mana ada satu aspek penghayatan yang dapat kita lihat," kata Dr Faishal.

PENGUASAAN DWIBAHASA LAHIRKAN RAKYAT TEMPATAN YANG 'UNIK'

Namun lebih dari itu, Dr Faishal menambah pendekatan menerusi barisan aktiviti yang dianjurkan itu turut membawa tanggungjawab yang lebih besar iaitu untuk memartabatkan penggunaan dan penguasaan dwibahasa, sejajar dengan apa yang digagaskan oleh Pemerintah.

Pelaksanaannya menerusi aktiviti-aktiviti itu bukan sahaja disasarkan kepada golongan Melayu malah masyarakat Singapura secara majmuknya.

Dr Faishal malah mengatakan bahawa konsep dwibahasa yang diperjuangkan di Singapura ini penting bagi memastikan setiap rakyat Singapura dapat memenuhi keperluan pembangunan negara.

Menurutnya lagi ini dapat dilihat apabila kanak-kanak sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan dua penggunaan bahasa berbeza yang mana dalam masa panjangnya membentuk kecekapan dan pemupukan penggunaannya yang lebih meluas di pelbagai bidang, termasuk aspek budaya dan warisan.

Keperluan pragmatik seorang rakyat terhadap bahasa Inggeris dapat dicapai namun uniknya pada masa yang sama, rakyat Singapura itu tetap dapat mengekalkan jati diri etniknya.

Keunikan dan kearifan ini menurut Dr Faishal lahir daripada dasar dwibahasa di Singapura.

"Ini adalah satu gambaran yang sangat baik dan ini meliputi bagaimana kita mahu meneruskan usaha kita, kita mesti meningkatkan pendekatan majmuk di mana bahasa Melayu seperti bahasa lain, di mana bahasa dapat dikongsi dengan rakan-rakan daripada bangsa lain.

"Dan ini akan kita usahakan bersama dan kita juga harus melihat bagaimana kita dapat teruskan usaha ini di peringkat yang makin mendalam," tambah Dr Faishal yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan.

Acara Bulan Bahasa seterusnya diadakan pada Sabtu depan (22 Sep) di Kelab Masyarakat Keat Hong.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan