Images
  • pm lee esm book launch
    Perdana Menteri Lee Hsien Loong berucap di majlis pelancaran biografi ESM Goh (Gambar: Mediacorp)

Budaya pembaharuan kepimpinan perlu diperdalam: PM Lee

SINGAPURA: Pucuk pimpinan politik Singapura seterusnya sedang dibentuk dan peralihan "tanpa kegenjotan" pada masa-masa lalu boleh dijadikan contoh, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (8 Nov).

Beliau berucap tentang pembaharuan kepimpinan semasa majlis pelancaran buku riwayat hidup (biografi) Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong, "Tall Order: The Goh Chok Tong Story" di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.

ESM Goh mengambil alih jawatan Perdana Menteri Singapura daripada mendiang Encik Lee Kuan Yew pada 1990 sebelum menyerahkan tanggunjawab itu kepada Encik Lee Hsien Loong pada 2004.

Peralihan pemimpinan ini berlaku "tanpa kegenjotan" dan membolehkan perubahan dan kesinambungan, yang menurut PM Lee, jarang berlaku di negara-negara lain.

Meskipun "kita tidak boleh beranggapan ini akan sentiasa berlaku di Singapura", PM Lee memberi jaminan bahawa beliau dan rakan-rakannya sedang melakukan sedaya upaya untuk memastikan perubahan kepimpinan berlaku "secara lancar dan tanpa kesilapan" sedang Singapura menghampiri satu lagi perubahan generasi dalam kepimpinan politik.

"Kita perlu memperdalamkan budaya penggantian pucuk kepimpinan dan kerjasama yang kohesif dalam norma-norma politik kita," tekan beliau.

Menurut Encik Lee, buku itu diterbitkan tepat pada masanya kerana salah satu tema yang disentuh adalah peralihan pucuk pimpinan.

Tambah beliau, hal itu bukan sekadar mencari pelapis yang sesuai, namun pasukan yang sesuai perlu dibentuk untuk memimpin Singapura.

Seperti pemegang jawatan sebelumnya, PM Lee juga mengambil ramai menteri baru dan menguji mereka dalam pelbagai portfolio.

"Mereka bertanggungjawab ke atas isu-isu sensitif dan perbualan yang sukar dengan warga Singapura, memperkenalkan diri dan pendirian mereka kepada orang ramai, mendampingi pengundi dan meyakini mereka," kata Encik Lee tentang para pemimpin generasi keempat.

KISAH YANG "MUDAH DIFAHAMI"

Tall Order, jilid pertama daripada buku dua jilid, mengisahkan riwayat hidup Encik Goh bermula dari zaman kanak-kanaknya sehingga beliau menggalas jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura yang kedua pada 1990.

Pembaca boleh memahami bagaimana kesusahan hidup yang beliau lalui membentuk pandangan dunia dan menyemai sifat berbakti dalam dirinya, kata Encik Lee.

"Kisah-kisah yang beliau ceritakan amat mudah difahami, kerana ia merupakan kisah yang dilalui ramai warga Singapura dalam generasinya," kata Encik Lee.

Encik Goh yang kini berusia 77 tahun, kehilangan ayahnya pada usia muda dan pernah tinggal di flat dua bilik bersama ibu dan empat adik beradiknya.

ENCIK GOH TIDAK MAHU MENULIS MEMOIR

Dalam pada itu, Encik Goh mendedahkan beliau sebenarnya tidak mahu menulis sebuah memoir atau buku riwayat hidupnya. Beliau membuat keputusan itu awal sebelum beliau menjadi perdana menteri.

Namun beliau akhirnya bersetuju selepas idea itu diusulkan oleh para pemimpin akar umbi dan rakan-rakan rapatnya.

Menurut Encik Goh, bukunya mengetengahkan aspek pementoran politik, serta latihan dan pengalaman yang diperlukan untuk mentadbir negara.

"Saya berharap kisah hidup saya akan menggalakkan generasi 'teknokrat' sekarang dan masa depan - jolokan yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan sejawatan - untuk berkhidmat kepada negara," katanya.

- CNA/TQ/tq

Top