Images
  • balcony
    Kawasan perumahan di mana budak empat tahun terjatuh daripada balkoni rumahnya. (Gambar: Google Maps)

Budak 4 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 17

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17.

Kejadian yang menimpa Siti Nur Nadhirah Khairul Anuar itu berlaku semalam (13 Sep) ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana keluar berniaga di Bukit Jelutong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata hasil percakapan awal dengan kakak mangsa yang berusia 14 tahun, sebelum kejadian remaja itu keluar untuk menghantar adik lelakinya yang berusia tujuh tahun ke sekolah berdekatan dan meninggalkan mangsa yang sedang tidur kerana demam, sendirian.

“Sebaik pulang, jirannya memberitahu mangsa terjatuh dari balkoni dan meninggal dunia,” kata ACP Mohd Zani.

Beliau menambah, siasatan mendapati pintu di ruang balkoni itu tidak bertutup dan tiada jerigi dipasang.

“Selain itu, polis mengenal pasti terdapat sebuah kerusi plastik dipercayai digunakan untuk memanjat,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top