Images
  • CLUB
    Club Aura. 

'Bouncer' mengaku tumbuk lelaki yang disangka jalin hubungan dengan wanita diminatinya

SINGAPURA: Seorang pengawal kelab malam atau 'bouncer', pada Selasa (4 Dis) mengaku menumbuk seorang lelaki yang dia percaya menjalin hubungan dengan seorang wanita yang dia sukai.

Liaw Jian Hong, 36 tahun, adalah seorang pengurus di Club Aura di Orchard Road.

Liaw sedang bekerja di kelab tersebut pada 4 Nov tahun lalu, mahkamah dimaklumkan. Pada sekitar jam 3.00 pagi, mangsa, Low Yan Koon, 29 tahun, sedang minum di kelab itu dengan seorang kawan.

Liaw melihat Encik Low, dan berpendapat bahawa dia mengenali lelaki itu sebagai lelaki yang menjalin hubungan dengan perempuan bernama Dada yang disukainya.

Liaw, yang sedang dalam keadaan mabuk dan marah, bersemuka dengan Encik Low mengenai perkara itu, memintanya untuk mengikutinya keluar dari kelab tersebut.

Liaw kemudian bertanya kepada Encik Low sekiranya dia mengenali seorang perempuan bernama Dada, di mana Encik Low membalas: "Ya."

Liaw menumbuk Encik Low sekali di bahagian hidung, menyebabkan hidungnya berdarah.

Bagaimanapun, Encik Low tidak membalas tumbukannya itu. Sebaliknya, beliau pulang ke kelab tersebut dan memberitahu kawannya bahawa mereka patut meninggalkan kelab itu.

Apabila mereka keluar daripada kelab itu, mereka melihat Liaw, yang masih berada di sana.

Liaw mula melontarkan kata-kata kesat terhadap Encik Low, sementara kawan Encik Low memberitahunya untuk menenangkan dirinya.

Tiba-tiba, Liaw menumbuk Encik Low sebanyak tiga kali di bahagian mukanya, menyebabkan bahagian atas mata kanannya berdarah.

Para pengawal kelab malam yang lain cuba masuk campur dan mangsa serta kawannya meninggalkan kawasan itu.

Satu laporan perubatan mendapati adanya kesan luka di bahagian kening mangsa, kesan darah di hidungnya dan luka di batang hidungnya.

Liaw mengaku bersalah dengan satu tuduhan mengakibatkan kecederaannya dan memberitahu mahkamah bahawa dia ingin membayar ganti rugi kepada mangsa bagi kos perubatannya sebanyak S$322.

Hakim menangguhkan perkara itu untuk diproses, dan kes tersebut akan didengar lagi minggu depan. 

- CNA/NA/na

Top