Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bilangan keluarga Melayu/Islam dapatkan bantuan AMP dalam isu-isu rumah tangga naik 100%

Bilangan keluarga Melayu/Islam yang mendapatkan bantuan daripada Angkatan Karyawan Islam (AMP) dalam isu-isu rumah tangga, keibubapaan dan sosial, meningkat sekitar 100 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bilangan keluarga Melayu/Islam yang mendapatkan bantuan daripada Angkatan Karyawan Islam (AMP) dalam isu-isu rumah tangga, keibubapaan dan sosial, meningkat sekitar 100 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya.

Demikian didedahkan Presiden Halimah Yacob semasa berucap di Seminar Keibubapaan AMP dan Pusat Kebapaan (CFF) pagi tadi (16 Sep).

Beliau juga mendedahkan, satu kajian baru yang mendalam mengenai keberkesanan bapa Melayu/Islam, juga sedang dijalankan.

DULU LAIN, SEKARANG LAIN...

Hakikatnya, ibu bapa sekarang berdepan dengan cabaran yang jauh berbeza daripada ibu bapa generasi sebelum ini.

Ramai anak-anak sekarang mempunyai telefon bijak dan hampir mustahil untuk mengesan apa yang mereka lakukan dan dengan siapa mereka berinteraksi, kata Presiden Halimah Yacob.

Berucap di seminar tersebut selaku tetamu kehormat, beliau juga menarik perhatian betapa selain daripada itu, ramai pasangan suami isteri juga kedua-duanya keluar bekerja dan menghadapi cabaran untuk meluangkan masa bermutu dengan pasangan dan keluarga.

Lantaran berdepan dengan cabaran-cabaran seperti itulah, semakin ramai pasangan mendapatkan bantuan AMP kata beliau.

(Gambar: MCI)

(Gambar: MCI)

LEBIH RAMAI DAPATKAN BANTUAN TAPI DI TAHAP KRITIKAL

AMP memberitahu BERITAmediacorp bahawa lebih 600 kes sedemikian dikendalikannya pada tahun lalu, berbanding lebih 300 kes pada tahun 2016.

Jelas, semakin ramai yang perlukan bantuan.

"Ramai di antara mereka hanya meminta bantuan apabila masalah di tahap kritikal. Ini bermakna isu telah menjadi rumit dan susah untuk ditangani. Selalunya para kaunselor dan pegawai kes dapati bahawa punca utama ialah apabila pasangan suami isteri kurang berusaha untuk mengukuh dan membina rumah tangga mereka," kata Puan Halimah.

Presiden Halimah turut berkongsi dapatan Tinjauan Perkahwinan dan Keibubapaan 2016 yang dijalankan oleh Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD).

Tinjauan itu menunjukkan bahawa 99 peratus responden setuju bahawa para ibu dan bapa berperanan sama penting sebagai penjaga kepada anak mereka. Namun demikian, ada jurang dalam soal pengamalannya.

Menurut kajian tersebut lagi, kebanyakan tugas seperti menjaga anak sakit, memandikan dan memberi anak makan, serta kerja-kerja di rumah, sebahagian besarnya dijalankan oleh si ibu. Golongan ibu juga didapati menghabiskan 2.6 jam setiap hari untuk kerja-kerja rumah tangga, berbanding 1.5 jam oleh sang suami.

Puan Halimah berinteraksi dengan para peserta seminar. (Gambar: MCI)

(Gambar: MCI)

KAUM BAPA BOLEH LAKUKAN LEBIH BANYAK, LIBATKAN DIRI ASUH ANAK

Lantaran itu Presiden Halimah menggesa supaya lebih banyak dilakukan oleh kaum bapa untuk merapatkan jurang itu.

"Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang mempunyai bapa yang lebih melibatkan diri dalam pengasuhan mereka mempunyai kemahiran sosial yang lebih baik, mempunyai prestasi akademik yang lebih baik dan kurang masalah tingkah laku," ujar beliau.

Beliau menambah, terdapat pelbagai cara untuk kaum bapa memainkan peranan yang lebih aktif dalam kehidupan anak-anak.

Sebagai contoh, seorang bapa boleh memupuk nilai-nilai positif, memberi nasihat dan pandangan kepada anak-anak menerusi perbualan dan ketika berinteraksi dengan anak-anak setiap hari.

Ini selain memberikan sokongan moral dan emosi kepada para ibu dan membantu meringankan tugas di rumah atau mendidik anak-anak dengan menjadi contoh yang baik kerana mereka mempelajari nilai-nilai tersebut menerusi pemerhatian.

Sekalipun demikian, Presiden Halimah akur bahawa dengan bermacam-macam peranan yang dimainkan oleh para bapa hari ini, tanggungjawabnya boleh menjadi terlalu banyak untuk digalas.

Presiden Halimah bergambar bersama peserta Seminar Keibubapaan AMP dan CFF. (Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

KAJIAN SOSIO-BUDAYA BAGI TANGANI CABARAN KEBAPAAN

Sebagai sebahagian daripada usaha berdepan dengan gejala itu, Presiden Halimah mendedahkan bahawa AMP, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Pusat Kebapaan (CCF) sedang bekerjasama menjalankan satu kajian mendalam mengenai cabaran-cabaran sosio-budaya yang dialami kaum bapa Melayu/Islam di Singapura, dalam usaha menjadi bapa yang berkesan.

Dapatan-dapatan daripada kajian itu dijangka membantu mewujudkan satu rangka kerja intervensi, bagi menangani cabaran-cabaran tersebut.

Selain itu, Presiden Halimah juga berharap, lebih banyak kumpulan sokongan bapa akan diperkenalkan dalam masyarakat Melayu/Islam, termasuk di masjid-masjid dan madrasah-madrasah.

Ustaz Zahid Zin dan Profesor Dr Che Muhaya di Seminar Keibubapaan AMP, 16 Sept. (Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

DR MUHAYA: RUMAH TANGGA GABUNGAN 2 KELUARGA BERBEZA, JADI...

Seminar itu turut menampilkan dua anggota panel. Penceramah motivasi, Dr Muhaya Mohamad dari Malaysia dan pendakwah tempatan yang juga CEO Muslim Youth Forum, Ustaz Zahid Zin.

Kedua-dua membincangkan bagaimana untuk mengukuhkan hubungan antara pasangan suami isteri serta kemahiran mengasuh anak secara bersama dengan berkesan serta pentingnya untuk sentiasa menajamkan kemahiran keibubapaan dalam membina sebuah keluarga.

Profesor Dr Che Muhaya. (Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Semasa ditemui BERITAmediacorp, Dr Muhaya berkongi bahawa hubungan yang baik antara pasangan suami isteri itu amat penting kerana ia menjadi penentu sebuah keluarga yang bahagia.

"Saya rasa hubungan ibu bapa itu kunci segala-galanya. Sebab rumah tangga itu gabungan dua insan daripada keluarga berbeza, cara membesar berbeza, tiba-tiba bergabung bawah satu bumbung dan nak digabungkan, nak menghasilkan satu generasi lain," kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan