Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berkebun di hutan bandar: 2 pekebun sambilan kongsi pengalaman

Bak kata pepatah Melayu, "berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya".

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Bak kata pepatah Melayu, "berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya".

Bagi para pekebun sambilan, hasil daripada bercucuk tanam bukan sahaja dituai dalam bentuk sayur-sayuran dan buah-buahan, tetapi juga suasana sekitaran yang hijau dan menenangkan.

Yang pasti, kini permintaan bagi menyertai program 'kebun masyarakat' Lembaga Taman Negara (NParks) terus meningkat.

Baru-baru ini, 350 petak kebun di Jurong Lake Gardens West dan Ang Mo Kio Gardens West yang ditawarkan untuk disewa, berjaya menarik seramai 600 pemohon.

BERITAMediacorp menemui dua pemilik petak kebun bagi mencungkil pengalaman mereka bercucuk tanam di hutan bandar Singapura.

BAHARUDIN SAID TUAI KOBIS, KAILAN

Hampir setiap hujung minggu, sudah menjadi rutin bagi Encik Baharudin Said sekeluarga untuk 'turun padang' dan bercucuk tanam di petak kebunnya di Taman Clementi Woods.

Di petak kebunnya yang berukuran 2.5 meter kali 1 meter, beliau menanam lima jenis sayuran seperti kobis dan kailan.

Selain Encik Baharudin, dua orang kakaknya juga memiliki petak kebun di kawasan yang sama yang digunakan untuk menanam buah-buahan.

Hasil tanaman yang dituai mereka sendiri nikmati, malah mungkin juga dikongsi bersama saudara-mara dan jiran tetangga.

(Gambar: Nur Hazimah Anuar)

SERONOK BERCUCUK TANAM

Sejauh ini, Encik Baharudin sudah menuai sebanyak 10kg sayuran dengan hanya membayar sewa $57 setahun.

Bercucuk tanam sememangnya sudah berdarah daging dalam diri Encik Baharudin.

Sebelum skim kebun masyarakat diadakan, beliau berjinak-jinak dengan tanaman hidroponik di dalam rumah.

Melalui cara tanaman hidroponik, Encik Baharudin berjaya menuai buah-buahan dan sayuran yang ranum seperti tomato dan melon.

"Selain daripada bercucuk tanam, ia juga boleh dijadikan sebagai aktiviti sekeluarga. Ini lebih-lebih lagi kerana ahli keluarga saya juga masing-masing sedang bekerja," ujar Encik Baharudin.

HAMZAH OSMAN KONGSI JENIS TANAMAN YANG JARANG DILIHAT

Bagi seorang lagi pekebun sambilan, Encik Hamzah Osman, beliau terdorong untuk mendapatkan petak kebunnya kerana ia satu peluang untuk mendidik orang ramai tentang jenis tanaman yang semakin sukar ditemui dan hampir pupus.

Di petak kebunnya yang terletak di Taman Bishan-Ang Mo Kio, beliau menanam pelbagai tanam-tanaman yang lazimnya diamalkan oleh orang tua-tua dahulu untuk menjaga kesihatan.

"Saya tanam pelbagai tanam-tanaman seperti temu kunci, cekur, ibu kunyit - iaitu yang kita jarang lihat di mana-mana. Bagi cekur dan ibu kunci, kita lazimnya tidak dapat lihat bagaimana ia tumbuh, bentuk akarnya dan segala kegunaannya," kata Encik Hamzah.

Yang menariknya, tanam-tanaman beliau juga dipasang dengan label yang tertera kod QR. Ini memudahkan para pengunjung meraih lebih banyak maklumat tentang jenis tumbuhan tersebut.

Encik Hamzah turut berkongsi, beliau banyak mempelajari tentang tumbuh-tumbuhan daripada arwah neneknya yang merupakan seorang bidan kampung.

Selain itu, beliau juga kerap berkongsi pengalaman dengan pekebun lain. Yang pasti, aktiviti bercucuk tanam ini juga dapat memupuk semangat kejiranan.

"Semangat gotong-royong di antara pemilik plot-plot ini amatlah kuat. Sekiranya ada pemilik yang pergi ke luar negeri, mereka akan berganding bahu dan menjaga plot masing-masing," menurut Pengarah HortPark, Mohamad Azmi Shahbudin.

Dewasa ini, terdapat sekitar 1,300 kebun masyarakat di seluruh Singapura yang diusahakan lebih 36,000 penduduk.

Menjelang 2019, NParks menyasarkan untuk menawarkan lebih 1,000 petak kebun untuk disewa di merata Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan