Images
  • RLAF (1)
    Para peserta bengkel terapi seni. (Gambar-gambar: MUIS)

Bengkel terapi seni; belajar cara halus bantu mangsa dera & trauma

SINGAPURA: Seramai 45 sukarelawan dan karyawan muda dari pelbagai bidang kaunseling, kerja-kerja kemanusiaan serta keamanan menimba pengalaman baru dalam membantu mangsa dera dan trauma dengan cara yang lebih kreatif dan bermakna.

Ini dilakukan menerusi bengkel Terapi Seni Untuk Pemulihan Mangsa Penderaan dan Trauma pada Sabtu (7 Jul).

Bengkel setengah hari itu anjuran Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Yayasan Kemanusiaan The Red Pencil. Ia bertujuan untuk menajamkan kemahiran para sukarelawan dalam mendampingi para mangsa penderaan dan trauma, khususnya. Ini adalah kali pertama bengkel seumpama itu dianjurkan oleh RLAF.

Terapi seni disifatkan sebagai satu pendekatan halus, sensitif dan berbentuk terapi bagi sesiapa sahaja yang sudah mengharungi kesulitan yang mungkin sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Maka pendekatan tersebut diambil oleh pelbagai pertubuhan, termasuk RLAF supaya para sukarelawan dan karyawan boleh mendampingi mereka yang memerlukan bantuan seumpama itu dengan lebih berkesan.

"Bengkel terapi seni ini adalah satu lagi inisiatif pembangunan keupayaan yang dianjurkan oleh RLAF. Ia bertujuan untuk mendedahkan dan membiasakan para sukarelawan dan aktivis muda dengan prinsip serta proses-proses di sebalik projek-projek pembangunan dan kemanusiaan yang meninggalkan kesan," kata Pengarah Eksekutif RLAF, Zainul Abidin Ibrahim.

Menurut Pengasas yang juga Pengarah Urusan Yayasan Kemanusiaan The Red Pencil, Laurence Vandenborre, terapi seni membantu memulihkan kanak-kanak dan keluarga-keluarga yang terjejas akibat penderaan dan trauma.

Ia juga boleh membantu mereka yang terselamat daripada bencana alam atau para mangsa konflik untuk mencari jalan ke arah kehidupan yang lebih baik dan bermakna pada masa akan datang.


TERAPI SENI BUKAN SETAKAT UNTUK HILANGKAN RASA KEKOK

Pengurus Kanan Pembangunan Keupayaan Yayasan RLAF Muhammad Izhar Mohamed Roslan menjelaskan kepada BERITAMediacorp tentang perbezaan kegiatan seni biasa dengan terapi seni dan bagaimana ia dapat dimanfaatkan oleh para sukarelawan dalam menjalankan tugas-tugas murni mereka nanti.

"Seni terapi adalah apabila seseorang sukarelawan (atau pakar) secara sedar mendampingi mereka yang memerlukan bantuan menerusi seni dengan memberi ruang untuk mereka lebih terbuka tentang diri mereka (menerusi lukisan dan sebagainya).

"Ini berbeza dengan sekadar melakukan kraf tangan atau melukis semata-mata untuk menghilangkan rasa kekok apabila bertemu kali pertama," ujar Encik Izhar.

Sungguhpun demikian, beliau menambah, mereka yang ingin menggunakan seni terapi untuk membantu orang lain secara profesional perlu menjalani latihan-latihan tertentu dan ditauliah.

"Konsep terapi seni versi yang lebih ringan boleh dimanfaatkan untuk mendampingi mereka yang memerlukan bantuan. Ini kerana para sukarelawan juga mengetahui soalan-soalan yang perlu ditanya di samping prinsip-prinsip di sebalik terapi seni," kata beliau, sambil menambah semua itu memberikan lebih banyak kesan kepada apa pun seni yang dilakukan.


2 JENIS LATIHAN - 'SYMBOLISATION' & 'THE BOX'

Semasa bengkel tersebut, para peserta menjalani dua jenis latihan - 'symbolisation' atau perlambangan dan juga 'The Box'.

Dalam latihan pertama, para peserta diminta melukiskan sesuatu yang melambangkan diri dan perasaan mereka.

Menerusi latihan itu, para peserta mempelajari bahawa setiap orang mempunyai cara berbeza dan tersendiri untuk melambangkan diri menerusi bentuk dan warna lukisan.

Ini akan membawa kepada perbincangan tentang sikap saling menghormati pilihan yang dibuat orang lain dan mengelak daripada membuat tafsiran sendiri serta menerima kepelbagaian.

Para peserta kemudian diminta menghiasi bahagian luar dan dalam sebuah kotak sebagai lambang dalaman dan luaran diri mereka.

Kegiatan ini mempertingkat keupayaan mereka untuk sentiasa bermuhasabah diri dan berkomunikasi secara visual dengan orang lain jika perlu.


TERAPI SENI RELEVAN

Para peserta bengkel tersebut termasuk para wakil dari enam pertubuhan, golongan mahasiswa, pekerja bebas dan gerakan Advocates for Refugees Singapore (AFR-SG).

Pengalaman yang baru ditimba hari ini membuka mata Pegawai Pembangunan Belia Masjid Maarof, Muhammad Asyraf Yusoff Subri.

Menurut beliau, bengkel itu membantu beliau menghargai perbezaan cara setiap orang melahirkan isi hati mereka menerusi seni.

Encik Muhammad Asyraf juga berasa terapi seni relevan untuk beliau sepadukan dengan tugasnya di masjid memandangkan ia membolehkan para belia meluahkan perasaan dengan lebih jelas melalui warna berbanding kata-kata.

Bagi seorang lagi peserta, duta Roses of Peace, Wan Nordin, terapi seni dilihat sebagai cara kreatif untuk berkongsi pengalaman yang berbeza-beza.

Seperti Encik Muhammad Asyraf, Encik Wan Nordin juga mendapati ia relevan bagi dirinya. Ini kerana tugas beliau adalah untuk membantu memudahkan perbincangan kaum dan agama melalui pengalaman.

Maka terapi seni merupakan bentuk kreatif yang memudahkan proses menggalak perbincangan lebih bertenaga menerusi seni dan tidak hanya terhad kepada kata-kata.


BENGKEL UNTUK TAMBAH NILAI KEPADA TUGAS SUKARELAWAN

RLAF menganjurkan antara empat hingga lima bengkel setahun. Bengkel terapi seni itu adalah yang ketiga bagi tahun ini dan sambutan yang diterima daripada para peserta juga amat menggalakkan.

Bengkel tersebut diharap dapat menjadi nilai tambah kepada kerja-kerja yang dilakukan para sukarelawan supaya ia meninggalkan kesan, berdaya mampan dan membangunkan keupayaan mereka, kata Encik Izhar.

"Kami sedang mempertimbangkan bengkel susulan (terapi seni). Buat masa ini belum pasti lagi tetapi sudah ada perancangan antara RLAF dengan The Red Pencil untuk mengadakan lebih banyak atau sekurang-kurangnya satu lagi bengkel bagi yang terlepas (menyertainya kali ini)," tambah Encik Izhar. 

- BERITAMediacorp/nk

Top