Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2018: Apa ertinya kepada rakyat S'pura

Dengan perubahan ekonomi dijangka terus menjadi tumpuan Belanjawan 2018, sokongan bagi pekerja rakyat Singapura mengharungi perjalanan ini akan disenaraikan antara usaha teratas yang harus dilaksanakan pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2018: Apa ertinya kepada rakyat S'pura

Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 13 Feb 2018 01:32PM Dikemas Kini : 13 Feb 2018 01:34PM

SINGAPURA: Dengan perubahan ekonomi dijangka terus menjadi tumpuan Belanjawan 2018, sokongan bagi pekerja rakyat Singapura mengharungi perjalanan ini akan disenaraikan antara usaha teratas yang harus dilaksanakan pemerintah.

Pemerhati pasaran juga menjangkakan Belanjawan itu, yang akan disampaikan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada 19 Februari, memberikan pencerahan tentang kenaikan cukai, sedang pemerintah mengimbangi keperluan pembiayaan negara yang kian meningkat dan mengekalkan kemampanan fiskal.

USAHA PERTINGKAT KEMAHIRAN

Di tengah-tengah pasaran buruh yang pesat berubah namun terjejas oleh gangguan teknologi yang pantas, serta kumpulan tenaga kerja yang menua dan semakin mengecil, pemerintah sudah lama menggesa rakyat Singapura supaya meneruskan perjalanan pembelajaran sepanjang hayat bagi melengkapi mereka dengan lebih baik lagi untuk pekerjaan masa hadapan.

Pelbagai dasar juga sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, termasuk SkillsFuture, skim latihan seperti Program Pertukaran Profesional di bawah Workforce Singapore, dan baru-baru ini, tertubuhnya Perikatan Daya Inovasi Global bagi rakyat Singapura menimba pengalaman luar negara.

Melihat kepada bagaimana gangguan dan perubahan kekal menjadi isu penting bagi ekonomi meskipun wujud pertumbuhan yang kian mengukuh pada tahun 2017, Belanjawan akan datang dijangka mempunyai lebih banyak sokongan bagi tenaga kerja tempatan menajamkan kemahiran yang menerima banyak permintaan.

"Pengangguran berstruktur adalah isu yang menjadi keprihatinan pemerintah," kata ahli ekonomi Nomura Brian Tan. Pengangguran berstruktur disebabkan pemadanan yang tidak sesuai antara kemahiran pekerja dan apa yang diperlukan majikan.

"Anda akan mendapati lebih banyak sokongan bagi usaha mempelajari semula dan meningkatkan kemahiran yang bertujuan membantu orang ramai berpindah dari satu industri ke industri yang lain, terutama sekali PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) yang kehilangan pekerjaan mereka," kata Encik Tan.

Rakyat Singapura yang memberikan pandangan mereka dalam Sesi Mengumpul Maklum Balas praBelanjawan 2018 yang dianjurkan oleh REACH dan Kementerian Kewangan juga mahukan lebih banyak sokongan berhubung isu tersebut.

"Ramai rakyat Singapura merasakan lebih banyak sokongan daripada majikan harus diwujudkan bagi meningkatkan kemahiran dan merujuk kepada keperluan membantu majikan untuk mengenal pasti nilai melatih pekerja mereka," menurut kenyataan media.

Sebilangan rakyat juga mencadangkan penurunan usia minimum bagi Kredit SkillsFuture untuk membolehkan "graduan baru merapatkan jurang kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan."

KENAIKAN CUKAI?

Satu lagi isu yang menarik perhatian rakyat Singapura adalah kemungkinan kenaikan cukai, yang sudahpun banyak dibincangkan menjelang Belanjawan 2018 sejak Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata November lalu bahawa kenaikan cukai tidak dapat dielakkan di tengah-tengah perbelajaan yang kian bertambah bagi prasarana dan keperluan sosial.

Beberapa ahli ekonomi dan pakar cukai kini menjangkakan kenaikan pada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), melihat kepada bagaimana kadar Singapura kekal agak rendah berbanding negara-negara di rantau ini.

Ahli ekonomi Maybank Chua Hak Bin, turut menjangkakan kenaikan GST, yang kali terakhir dinaikkan kepada 7 peratus daripada 5 peratus pada tahun 2007, untuk dinaikkan kepada 9 peratus.

"Kenaikan GST sebanyak dua peratusan mata boleh memberikan tambahan S$3.2 bilion, yang membantu merapatkan jurang defisit fiskal operasi sekarang, yang dijangkakan sekitar S$5.6 bilion pada FY2017," jelasnya.

Pembelian bebas cukai yang dibuat online juga mungkin akan diubah tidak lama lagi kerana pemerintah dijangka mengikut langkah negara serantau dalam membawa pembelian e-runcit yang berkembang dengan pesat di bawah regim cukai tempatan, menurut pakar.

Encik Heng membayangkan kemungkinan cukai e-runcit dalam Belanjawan 2017, manakala Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Kewangan Indranee Rajah berkata dalam wawancara baru-baru ini bahawa pemerintah masih mengkaji cara terbaik untuk mengenakan cukai bagi beli-belah online.

Sehubungan itu, beberapa bentuk cukai lain seperti hartanah, cukai harta, serta cukai tembakau dan arak atau terhadap import kenderaan tidak boleh ditolak, menurut ahli ekonomi DBS Irvin Seah.

Bagaimanapun para pakar meramalkan sebarang bentuk kenaikan cukai akan dilaksanakan secara bertahap-tahap.

Dr Chua menjangkakan GST akan dinaikkan sebanyak satu peratusan mata kepada lapan peratus tahun depan sebelum dinaikkan kepada sembilan peratus pada tahun 2020. Menyifatkan kenaikan GST sebagai "langkah regresif", pakej pengimbangan harus diperkenalkan bagi "mengimbangi sepenuhnya" kesan terhadap keluarga berpendapatan rendah, dedahnya.

Encik Max Loh, rakan pengurusan Ernst & Young bagi Sinagpura dan ASEAN, juga menjangkakan perubahan cukai dilaksanakan melalui "pendekatan berperingkat" bagi memberikan orang ramai dan perniagaan cukup masa untuk menyesuaikan diri.

Encik Loh berkata rebat GST juga akan dihulurkan kepada golongan berpendapatan rendah jika kenaikan GST diluluskan kerana "ia tidak selari dengan sifat progresif sistem cukai kita".

Menurut maklum balas praBelanjawan, ramai rakyat Singapura memilih untuk meningkatkan perbelanjaan, tetapi berpendapat pemerintah masih harus mengeluarkan belanja mengikut kemampuan.

Beberapa keprihatinan tentang cukai juga dibangkitkan, dengan sebilangan rakyat Singapura menggesa pemerintah supaya menimbangkan cara lain untuk menjana pendapatan sebelum menimbangkan kenaikan cukai. Jika kenaikan cukai tidak dapat dielakkan, maka lebih banyak bantuan harus diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah dan golongan pertengahan, menurut kenyataan media REACH.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan