Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2016 penuhi keperluan rakyat, persiap bagi masa depan

Belanjawan 2016 merupakan babak baru bagi penggal Pemerintah kali ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Apr 2016 08:06PM Dikemas Kini : 05 Apr 2016 10:45PM

SINGAPURA: Belanjawan 2016 merupakan babak baru bagi penggal Pemerintah kali ini.

Malah, ia disifatkan sebagai sesuatu yang memenuhi keperluan rakyat Singapura sekarang, sambil mempersiapkan mereka untuk masa depan.

Demikian pandangan para Anggota Parlimen (AP) yang berucap pada hari kedua Perbahasan Belanjawan siang tadi (5 Apr).

Ramai AP mengutarakan nasib perniagaan-perniagaan kecil serta kebajikan pekerja. Sementara beberapa yang lain membangkitkan keprihatinan terhadap para ibu yang bekerja.

CADANG PENDEKATAN LEBIH TERTUMPU

Para AP mengalu-alukan pelbagai inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan tahun ini. Namun beberapa daripada mereka, seperti Cik Denise Phua, turut mencadangkan pendekatan lebih tertumpu.

Misalnya, beliau menggesa pihak berkuasa agar menilai syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), karyawan, pekerja bergaji rendah dan juga Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO) berdasarkan keupayaan, sikap dan kebolehan.

Ini katanya, akan membolehkan pemerintah mengenal pasti syarikat-syarikat atau individu yang memiliki kesemua ciri-ciri itu dan membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya.

Cabaran yang dihadapi para pekerja turut dibangkitkan.

PEKERJA KELAS PERTENGAHAN "AKAN PALING TERJEJAS"

AP Dilantik, K Thanaletchimi, menekankan tentang pentingnya menyokong para pekerja kelas pertengahan, kerana menurutnya, golongan itulah yang akan paling terjejas apabila ekonomi menjadi suram.

AP Zainal Sapari yang juga Penolong Setiausaha Agung NTUC, berpendapat kenaikan gaji tahunan yang wajib perlu disertakan sebagai sebahagian daripada syarat-syarat perlesenan dan pendaftaran bagi sektor-sektor pembersihan, keselamatan dan landskap.

Langkah itu, katanya, berpotensi memanfaatkan 85,000 pekerja dalam sektor-sektor sedemikian.

Sebahagian besar Belanjawan tahun ini juga memberi tumpuan kepada usaha membina masyarakat yang penyayang dan berdaya tahan.

Bagi tujuan itu, beberapa inisiatif diumumkan Menteri Kewangan, seperti lebih banyak sokongan untuk kanak-kanak, pekerja bergaji rendah serta golongan tua dan kurang upaya.

"BAHAYA" RAKYAT TERLALU BERGANTUNG KEPADA BANTUAN NEGARA

Beberapa AP mengusul beberapa saranan bagaimana bantuan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan tetapi tidak memenuhi piawai kelayakan.

Namun pada masa yang sama, AP Cheryl Chan, juga menarik perhatian tentang bahayanya jika rakyat terlalu bergantung kepada bantuan negara.

Beliau berkata, penglibatan masyarakat juga penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial dan nilai-nilai sedemikian perlu disemai pada usia kecil.

CABARAN IBU BEKERJA

Beberapa AP pula mengutarakan cabaran yang dihadapi golongan lain, seperti para ibu yang bekerja.

AP Christopher De Souza menggesa pemerintah supaya menggubal undang-undang bagi membolehkan para ibu yang bekerja, mengambil tambahan lapan minggu cuti tanpa gaji ataupun bekerja secara fleksibel, di samping cuti bersalin selama 16 minggu.

Encik Gan Thiam Poh pula menyarankan agar khidmat jagaan kanak-kanak selama 24 jam disediakan untuk para ibu bapa yang bekerja syif serta memberi bayaran kepada para datuk nenek yang menjaga cucu-cucu mereka.

AP Lee Bee Hwa pula mempersoalkan langkah menghadkan pelepasan cukai pendapatan peribadi kepada $80,000 setahun, lalu berkata ia akan menjejas sebilangan ibu yang bekerja.

Beliau khuatir jika langkah itu akan menawarkan hati para ibu untuk kembali bekerja ataupun mengurangkan bilangan anak yang dilahirkan untuk tenaga kerja masa depan. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan