Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekerja antara cara tangani masalah bunuh diri di kalangan warga emas: Pakar

Meskipun statistik menunjukkan bahawa bilangan warga emas yang bunuh diri mungkin akan meningkat sejajar dengan jumlah warga senja yang bertambah di Singapura, lebih banyak boleh dilakukan untuk membantu mereka yang berisiko mengambil nyawa sendiri. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bekerja antara cara tangani masalah bunuh diri di kalangan warga emas: Pakar

Seorang warga emas di Singapura. (Gambar: Francine Lim)

Diterbitkan : 16 Aug 2018 09:00AM Dikemas Kini : 16 Aug 2018 09:03AM

SINGAPURA: Meskipun statistik menunjukkan bahawa bilangan warga emas yang bunuh diri mungkin akan meningkat sejajar dengan jumlah warga senja yang bertambah di Singapura, lebih banyak boleh dilakukan untuk membantu mereka yang berisiko mengambil nyawa sendiri, menurut para kaunselor yang mengikuti perkembangan isu tersebut.

Antara saranan yang dikemukakan adalah melatih lebih ramai kakitangan barisan hadapan di dalam dan luar sektor jagaan kesihatan bagi mengenal pasti tanda-tanda kemurungan atau risiko bunuh diri, menggalak lebih banyak majikan untuk menggajikan golongan warga emas dan memastikan keluarga dan masyarakat tidak memandang ringan jika ia dibangkitkan oleh sesiapa.

Bulan lalu, Samaritans of Singapore menarik perhatian bahawa jumlah kes bunuh diri dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas pada 2017 adalah yang tertinggi sejak ia mula memantaunya pada 1991. Perangkaan menunjukkan bahawa 129 warga emas di Singapura membunuh diri tahun lalu, tambahan enam kes berbanding 2016.

Meskipun jumlahnya meningkat, kadar bunuh diri golongan ini sebenarnya merosot, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). Kecuali kenaikan sedikit berbanding 2016, kadar bunuh diri 16.4 daripada setiap 100 ribu penduduk berusia 60 tahun ke atas pada 2017 lebih rendah berbanding kadar yang dicatatkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Kadar bunuh diri Singapura juga lebih rendah daripada Hong Kong, di mana kadar bunuh diri bagi mereka yang berusia atas 65 tahun di bandar itu mencapai 24.2 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2016, dan Korea Selatan, di mana terdapat 78.1 kematian kerana bunuh diri bagi setiap 100,000 penduduk yang berusia atas 80 tahun pada 2016.

PASTIKAN GOLONGAN WARGA EMAS TERUS BEKERJA

Menurut para pakar yang ditemui Mediacorp, penyakit fizikal dan masalah mental menjadi antara sebab-sebab warga emas memutuskan untuk mengakhiri hidup mereka. Faktor lain yang turut mempengaruhi keputusan mereka termasuk keadaan mereka yang menganggur dan kehilangan orang yang disayangi.

Lantaran itu, para pakar menyarankan usaha dipergiat bagi memastikan lebih ramai warga emas dapat terus bekerja.

"Ada aspek sosial. Mereka akan berasa diri mereka dihargai kerana dapat menyumbang kepada tempat mereka bekerja dan masyarakat," kata Dr Ko, pengarah eksekutif Beyond Age. Kes bunuh diri rumit tetapi dengan bekerja, "pasti dapat membantu".

Di samping itu, pendapatan yang mereka terima, kata para pakar, membuat warga emas rasa berdikari. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa masih ada cabaran untuk memastikan mereka dapat terus bekerja kerana majikan masih keberatan untuk menggajikan warga emas meskipun mereka mempunyai pengalaman.

Program-program yang dijalankan pemerintah dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan juga merupakan langkah yang positif kerana ia dapat memastikan warga emas kekal terlibat dan mengekalkan minda yang sihat.

Meskipun jumlah pusat jagaan siang hari yang menyediakan program-program sedemikian semakin banyak, para pakar memberi amaran tentang kos khidmat seperti itu, yang mungkin tidak dimampui sesetengah warga emas.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan