Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pegawai kastam dipenjara peroleh bayaran balik GST secara tipu

Seorang bekas pegawai kastam dijatuhi hukuman penjara 15 bulan kerana memperolehi bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menerusi penipuan semasa dia dikerahkan di Lapangan Terbang Changi.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pegawai kastam dipenjara peroleh bayaran balik GST secara tipu

Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Robin Choo)

Diterbitkan : 20 Apr 2018 07:22PM Dikemas Kini : 20 Apr 2018 07:38PM

SINGAPURA: Seorang bekas pegawai kastam dijatuhi hukuman penjara 15 bulan kerana memperolehi bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menerusi penipuan semasa dia dikerahkan di Lapangan Terbang Changi.

Pang Yeow Biah, 61 tahun, mengaku bersalah atas 10 pertuduhan berkaitan bayaran balik berjumlah sekitar S$8,300, menurut Kastam Singapura, Penguasa Hasil Mahsul Dalam Negeri Singapura (IRAS) dan polis dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (20 Apr).

Kesalahan-kesalahan tersebut dilakukan antara tahun 2012 dengan 2014.

Sebagai seorang pegawai kastam di kaunter pemeriksaan bayaran balik GST di Lapangan Terbang Changi, tugas Pang adalah untuk memperoses tuntutan yang dibuat oleh para pelancong yang akan meninggalkan Singapura.

Bagaimanapun, Pang menolak sebahagian tuntutan yang dibuat oleh para pelancong dan dalam pada itu menyimpan dokumen-dokumen berkaitannya.

"Apabila terdapat peluang, Pang akan memperoleh maklumat tuntutan bayaran balik GST yang 'ditolak' dan menggunakan sistem eTRS untuk memproses secara elekronik bayaran balik GST tersebut ke dalam kad kreditnya sendiri atau kad kredit yang dipegangnya," menurut pihak berkuasa.

Menurut dokumen-dokumen mahkamah, Pang bukan sahaja menggunakan komputernya sendiri untuk memproses bayaran balik tersebut, dia juga menggunakan kiosk-kiosk layan diri eTRS serta komputer empat lagi pegawai kastam semasa mereka sedang sibuk atau berehat.

Bayaran balik yang diperolehi secara menipu itu dimasukkan ke dalam akaun dua kad kredit yang berdaftar di bawah nama bekas teman wanita anak lelakinya - salah satu daripadanya adalah kad tambahan, yang mana Pang merupakan pemegangnya.

Satu lagi kad adalah yang berpangkalan di Malaysia dan digunakan oleh bekas teman wanita anak Pang. Dia kemudian menggunakan wang tersebut untuk membayar perbelanjaan yang menggunakan kad kreditnya sendiri.

Pang juga meminta bekas teman wanita anaknya untuk membelikan tiket penerbangan bagi pihaknya, menggunakan wang bayaran balik GST yang sudah dimasukkan ke dalam akaun kad wanita berkenaan.

Pang sudahpun memulangkan sepenuhnya wang yang diperolehi. Dia juga diarahkan supaya membayar denda sebanyak S$24,906.15, yang merupakan tiga kali ganda jumlah wang yang digelapkannya.

Menurut pihak berkuasa dalam kenyataan media itu: "Langkah-langkah pemeriksaan yang sudah diterapkan dalam sistem (built-in) sudahpun diwujudkan bagi mengenal pasti kes-kes untuk dikenakan siasatan lanjut.

"Menerusi analisis data, IRAS dan Kastam Singapura boleh mengesan tuntutan bayaran balik GST yang mencurigakan serta kegiatan penipuan."

Atas kesalahan memperolehi bayaran balik GST menerusi penipuan, Pang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda sehingga S$10,000. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan