Images
  • gavel
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Bekas paramedik didenda S$3,000; hantar gambar mayat amah kepada teman lelaki

SINGAPURA: Seorang bekas paramedik yang bekerja di syarikat pengendali ambulans privet didenda $3,000 pada Selasa (7 Ogos) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ini selepas wanita itu mengirimkan gambar mayat pembantu rumah, yang menggantung dirinya, kepada teman lelakinya. Dia juga didapati mengirimkan gambar notis panggilan yang dikeluarkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kepada teman lelakinya.

Teman lelaki wanita berkenaan kemudian mengongsi gambar mangsa dengan rakan-rakannya menerusi WhatsApp yang tular di media sosial.

Nurrizah Afiqah Hussain, 27 tahun, yang kini seorang pelajar, mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah OSA pada Selasa (7 Ogos). Dia mengaku mengirimkan dua gambar - iaitu gambar mangsa dan notis panggilan SCDF - secara haram kepada teman lelakinya, Fazli Hisham Mohd Fairuz Shah, 28.

Menurut dokumen-dokumen mahkamah, Nurrizah berbuat demikian kerana dia ingin "mengongsi pengalamannya" dengan Fazli meskipun dia tahu bahawa dia tidak sepatutnya melakukan demikian.

Nurrizah mula bekerja sebagai seorang paramedik dengan syarikat Unistrong Technology pada 2014, yang ditugaskan untuk memberi respons kepada kecemasan-kecemasan perubatan bagi pihak SCDF. Di bawah kontrak pekerjaannya, Nurrizah dikehendaki merahsiakan sebarang maklumat yang diterimanya semasa menjalankan tugas.

Pada 1 Februari 2017, Nurrizah bertugas di Pos Bomba Marine Parade di Marine Terrace apabila dia menerima maklumat untuk menjawab satu panggilan. Dalam insiden itu, seorang lelaki menghubungi 999 untuk melaporkan bahawa pembantu rumahnya menggantung dirinya ketika lelaki berkenaan dan keluarganya berada di luar negara selama lima hari.

Kedua-dua gambar yang dikirimkan oleh Nurrizah kepada teman lelakinya tular di media sosial, sehingga mendapat perhatian ejen mangsa yang kemudian memaklumkan majikan mangsa.

Majikan mangsa kemudian menghubungi polis dan membuat aduan pada 3 Februari tahun lalu. Nurrizah diberkas setahun kemudian dan didakwa atas tiga tuduhan di bawah OSA.

Bagi setiap tuduhan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga $2,000. 

- TODAY/AI/ai

Top