Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas jurutera SMRT dipenjara 4 minggu kerana cuai dalam kemalangan maut di stesen Pasir Ris

Jurutera yang bertanggungjawab ke atas dua kakitangan SMRT yang maut semasa bertugas pada Mac 2016, dijatuhi hukuman penjara selama empat minggu hari ini (12 Mac). Ini setelah dia mengaku bersalah ke atas perbuatan cuai yang mengakibatkan kematian.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Mar 2018 06:09PM Dikemas Kini : 13 Mar 2018 12:21AM

SINGAPURA: Jurutera yang bertanggungjawab ke atas dua kakitangan SMRT yang maut semasa bertugas pada Mac 2016, dijatuhi hukuman penjara selama empat minggu hari ini (12 Mac). Ini setelah dia mengaku bersalah ke atas perbuatan cuai yang mengakibatkan kematian.

Lim Say Heng, 48, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda.

Dia mengetuai sebuah pasukan 15 kakitangan yang ditubuhkan untuk menyiasat punca masalah isyarat yang berlaku antara stesen MRT Tampines dengan Pasir Ris pada 22 Mac 2016.

Pada hari kejadian, Lim mengarahkan supaya pasukannya berjalan di landasan kereta api untuk ke tapak kerja. Tindakan pasukan itu diteruskan tanpa memberi amaran kepada kereta api yang sedang beroperasi. Di bawah garis panduan keselamatan yang ditetapkan, kakitangan seharusnya menaiki kereta api untuk ke tapak kerja.

Satu-satunya langkah keselamatan yang diambil adalah nota yang ditulis dan dipasang di stesen MRT Tampines. Bagaimanapun, ia tidak pun melakukan pemberitahuan kepada para pemandu kereta api bahawa kakitangan lain sedang menjalankan tugas di landasan itu.

Pada sekitar 11.22 pagi, Nasrulhudin Najmudin, 25, dan Muhammad Asyraf Ahmad Buhari, 24, maut setelah dilanggar kereta api yang sedang beroperasi.

Kedua-duanya merupakan kakitangan baru dan sedang menjalani latihan sambil kerja.

Rakan kerja mereka, termasuk Lim, juga nyaris maut. Sesetengah pasukan itu kekal di landasan tersebut manakala yang lain berjaya melompat dari landasan di mana kereta api sedang menuju ke arah mereka.

Lim bersama pemandu kereta api berkenaan dipecat beberapa bulan selepas kemalangan tersebut.

Pengendali kereta api SMRT dan pengarah pengendalian kawalan Teo Wee Kiat juga didakwa pada Disember 2016. Kemalangan itu kekal sebagai kemalangan maut paling buruk dalam sejarah SMRT.

Syarikat itu diarahkan untuk membayar denda sebanyak S$400,000. Ia didapati bersalah di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja kerana gagal melakukan apa yang perlu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para kakitangannya di tempat kerja.

Selepas perbicaraan pada Februari 2017, Timbalan Pendakwa Raya, Anandan Bala, berkata kemalangan itu berlaku akibat "kegagalan sistemik yang tidak dapat dimaafkan... kerana gagal untuk mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan."

Pihak pendakwa mengkritik hebat Pusat Kawalan Operasi - yang diketuai Teo - kerana memberi "lampu hijau kepada kakitangannya (untuk menjalankan tugas) dalam cara yang sangat bertentangan dengan (garis panduan keselamatan)".

Teo didenda S$55,000 pada September 2017 selepas didapati bersalah ke atas dakwaan yang sama di bawah WSHA. Encik Anandan berkata bahawa Teo mengetahui tentang protokol keselamatan namun tidak mengendahkannya dan tidak melakukan apa-apa untuk mengatasi masalah itu.

Semasa dijatuhi hukuman penjara tahun lalu, Teo masih bekerja dengan SMRT dan diiktiraf kerana melaksanakan protokol-protokol lebih ketat berhubung akses masuk landasan kereta api semasa jam khidmat kereta api dijalankan.

Siasatan koroner ke atas kematian Nasrulhudin dan Asyraf akan dijalankan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan