Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekalan elektrik terputus di EWL pada waktu sibuk

Khidmat kereta api di Laluan Timur-Barat (EWL) mengalami kelengahan disebabkan putusnya bekalan elektrik pada waktu sibuk Selasa malam (14 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan elektrik terputus di EWL pada waktu sibuk

Kesesakan berlaku di stesen MRT Lakeside. (Gambar: Steven Ong/ Facebook)

Diterbitkan : 14 Aug 2018 11:19PM Dikemas Kini : 14 Aug 2018 11:23PM

SINGAPURA: Khidmat kereta api di Laluan Timur-Barat (EWL) mengalami kelengahan disebabkan putusnya bekalan elektrik pada waktu sibuk Selasa malam (14 Ogos).

Melalui kiriman tweet pada 7.08 malam, SMRT menasihati para penumpang supaya menjangkakan tambahan 20 minit pada masa perjalanan mereka antara Queenstown dengan Tuas Link.

Khidmat bas percuma disediakan di stesen-stesen antara Lakeside dengan Tuas Link.

Pada 7.19 malam, SMRT memaklumkan bahawa khidmat kereta api kembali beroperasi secara bertahap-tahap kerana masalah bekalan elektrik yang terputus sudah ditangani.

Para penumpang, bagaimanapun, masih boleh menjangkakan tambahan 10 minit pada masa perjalanan antara Queenstown dengan Tuas Link.

Pada 7.40 malam, SMRT menyatakan bahawa khidmat kereta api di stesen-stesen terjejas kembali beroperasi seperti biasa dan khidmat bas percuma tidak lagi disediakan.

Pintu-pintu platform di stesen MRT Pioneer tidak boleh dibuka. (Petikan gambar: Low Ken/ Facebook)

Seorang teknisyen, Low Ken, 50 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa beliau terpaksa turun di stesen Joo Koon meskipun ingin ke Pioneer kerana pintu-pintu platform di stesen MRT Pioneer tidak boleh dibuka. Pintu-pintu pada sisi platform lain juga tidak boleh ditutup, tambahnya. Encik Low kemudian terpaksa menaiki bas untuk ke Pioneer.

"Kereta api tidak boleh bergerak, jadi saya menaiki bas ke pusat pertukaran bas Joo Koon," katanya, sambil menambah bahawa ramai penumpang tidak dimaklumkan tentang isu tersebut pada masa itu.

Cik Serena Yeo, 29, berada di Redhill ketika beliau mendapat tahu tentang kelengahan tersebut. Beliau turun di stesen Boon Lay, di mana beliau meneruskan perjalanannya ke Joo Koon dengan menaiki bas yang ditawarkan secara percuma.

Mediacorp difahamkan para penumpang di stesen Boon Lay juga terdengar bunyi loceng kecemasan dan melihat Pasukan Pertahanan Awam Singapura di stesen berkenaan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan