Bayi yang bibirnya bertukar jadi biru diselamatkan kakitangan SMRT
Dua kakitangan SMRT dan seorang pegawai keselamatan Certis Cisco menerima pujian atas tindakan segera mereka yang membantu menyelamatkan nyawa seorang bayi lelaki.
SINGAPURA: Dua kakitangan SMRT dan seorang pegawai keselamatan Certis Cisco menerima pujian atas tindakan segera mereka yang membantu menyelamatkan nyawa seorang bayi lelaki.
Menurut catatan SMRT di Facebooknya malam semalam (14 Mac), bibir bayi itu bertukar warna menjadi kebiruan dan kedua-dua matanya berhenti bergerak ketika dia bersama ibunya di stesen MRT Somerset.
Pegawai Certis Cisco Punitha, yang melihat bayi itu dan ibunya yang menangis melihat keadaan anaknya, serta-merta memaklumkan pengurus stesen William dan penolong pengurus stesen, Kuldip.
William kemudian cuba membuka mulut bayi itu untuk memastikan salur udarany tidak tersekat dan mula menepuk-nepuk belakang tubuh bayi tersebut dengan perlahan-lahan, sementara Kuldip membuat pengumuman awam untuk mendapatkan bantuan profesional, menurut SMRT.
Seorang paramedik dan jururawat segera memberikan respons dan membantu untuk memastikan saluran udara bayi tersebut tidak tersekat. Tidak lama kemudian, kanak-kanak kecil tersebut mula memberikan respons.
Pasukan itu juga menasihati si ibu supaya membawa anaknya ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kami benar-benar mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang tampil ke hadapan untuk membantu," kata bapa bayi tersebut, Kelvin Wong.
"Pada saat itu, isteri saya tidak tahu siapa yang harus didekatinya untuk mendapatkan bantuan, namun mereka tampil ke hadapan untuk membantu. Mereka amat bersikap profesional dan kami amat menghargainya," tambahnya.
Kuldip berkata: "Perkara paling penting yang kami fikirkan ialah menyelamatkan kanak-kanak itu. Kami menitiskan air mata kegembiraan dan lega apabila kanak-kanak itu memberikan respons."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.