Images
  • gravel
    (Gambar hiasan: Jeremy Long)

Bapa yang cederakan anak hingga hilang upaya dipenjara

SINGAPURA: Seorang bapa yang memukul anak lelakinya dua tahun lalu sehingga tengkoraknya retak, hari ini (9 Nov) dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan sebatan rotan enam kali.

Lelaki berusia 30 tahun itu yang namanya tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti anak lelakinya, mengaku bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada anaknya yang waktu itu berusia enam bulan.

Kanak-kanak itu masih mengalami masalah perubatan akibat kecederaan yang dialaminya. Dia tidak boleh duduk sendiri dan tidak berupaya berdikari. Malah, dia sukar mengekspresikan diri.

Pada 26 Ogos 2016, tangisan bayi lelaki itu membuat ibunya terjaga antara 1.00 hingga 3.00 pagi. Dia menyusukan dan mendokongnya, tetapi bayi itu terus menangis, kata pendakwa kepada mahkamah.

Tangisannya membuat bapanya terjaga dan menjadi marah.

Dia memukul kepala bayi itu sekali dengan tangan kanannya sambil menjerit: "Diamlah, diamlah. Nanti aku perlu bekerja, aku tidak boleh tidur kalau engkau bising."

Isterinya, yang ketika itu sedang duduk di atas katil dan memangku anaknya, terdengar bunyi 'hentakan' yang kuat apabila suaminya melakukan perbuatan itu. Kesannya begitu kuat sehingga wanita itu bertindak memegang erat bayinya supaya tidak terjatuh.

Selepas dipukul, bayi itu menangis lebih kuat lagi menurut dokumen mahkamah.

Pesalah akhirnya kembali tenang dan mengambil bayi itu daripada isterinya lalu memangkunya. Tidak lama kemudian, bayi itu muntah sebelum akhirnya tidur.

Ibunya menelefon ambulans pada keesokan harinya apabila menyedari bayinya kelihatan "separuh sedar" dan "lemah". Dia dikejarkan ke hospital dan dirawat di unit jagaan rapi dan kemudian unit pemulihan neuro. Selepas dibenarkan keluar dari hospital, dia diletakkan di bawah jagaan ibu bapa titipan.

KINI ALAMI PELBAGAI MASALAH PERUBATAN

Satu laporan perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KKyang dikeluarkan pada April lalu menunjukkan kanak-kanak itu mengalami epilepsi (gangguan sementara fungsi otak) dan kurang upaya intelek. Dia juga mengalami distonia, satu masalah pergerakan dan sukar menelan makanan sehingga perlu menggunakan tiub.

Satu lagi laporan perubatan pada Oktober mendapati kanak-kanak itu masih menderita daripada kesan kecederaannya sehingga kini. Dia mempunyai palsi serebrum distonia, punggung kiri terkehel dan masalah apnea. Meskipun kini sudah berusia dua tahun lapan bulan, tahap perkembangannya dinilai seperti bayi empat bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Kumaresan Gohulabalan dan Grace Chua meminta supaya tertuduh dijatuhi hukuman sekurang-kurangnya lima tahun setengah dan disebat enam kali atas tindakannya yang mengakibatkan beberapa keretakan di kepala anaknya serta ketidakupayaan yang seumur hidup.

Mereka menambah, kanak-kanak itu kini tidak lagi boleh menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak boleh mempertahankan dirinya ketika "dianiaya" sehingga mengalami kecederaan serius.

"Tertuduh ialah ayah mangsa," kata para pendakwa. "Dia bertanggungjawab ke atas keperluan dan penjagaan seharian mangsa. Apabila mangsa menangis hari itu, dia tidak cuba menenangkannya dan sebaliknya mengkhianati kepercayaan yang diamanahkan.. tidak hanya dengan mengabaikan mangsa, tetapi juga menyerangnya secara fizikal."  

- CNA/AQ/aq

Top