Images
  • CBD
    Gambar fail kawasan pusat bandar Singapura, CBD. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Banyak peluang untuk ekonomi tumbuh & cipta semula S'pura, kata PM Lee

SINGAPURA: Memastikan ekonomi Singapura terus tumbuh adalah salah satu keutamaan Pemerintah dan terdapat banyak peluang utuk melakukannya.

Demikian tegas Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Parlimen hari ini (16 Mei).

Di tengah-tengah usaha berterusan yang giat dilakukan untuk menyusun semula ekonomi, banyak peluang boleh dilihat, kata PM Lee semasa Parlimen membahaskan Ucapan Presiden Halimah Yacob.

"Persoalannya adalah sama ada kita boleh merebut peluang-peluang tersebut," kata beliau.

PM Lee merujuk kepada ekonomi digital sebagai contoh dan menyifatkan bagaimana negara-negara jiran, seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia, mempunyai sektor-sektor teknologi yang "rancak".

Di Indonesia, empat syarikat pemula privet, yang bernilai sekurang-kurangnya $1 bilion - sudahpun dibangunkan.

"Jika kita boleh membangunkan sektor teknologi kita sendiri di samping berhubungan dengan syarikat-syarikat tersebut, kita akan maju bersama-sama," ujar PM Lee.

Singapura juga "menunjukkan kemajuan yang baik" dalam pembangunan teknologi-teknologi baru dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (fintech) dan pengilangan maju, tambah beliau.

Contohnya, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sudah membangunkan reputasi sebagai sebuah pusat AI terkemuka. Ia juga bekerjasama dengan Alibabauntuk membuka sebuah institut kajian mengenai AI - sekali gus institut pertama syarikat gergasi internet China itu.

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) juga sudah membangunkan Singapura menjadi sebuah hab fintech. Lebih 400 firma fintech kini berpangkalan di negara ini, di samping lebih 30 makmal inovasi serta pusat kajian yang ditubuhkan oleh syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) global.

Dalam pengilangan maju, Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) sedang bekerjasama dengan MNC, syarikat tempatan dan universiti untuk membangunkan teknologi-teknologi baru dalam bidang aeroangkasa dan kejuruteraan jitu.

Merujuk kepada makmal yang ditubuhkan dengan Rolls Royce dan Khidmat Aero Enjin Singapura pada tahun lalu, PM Lee berkata: "Ini akan mewujudkan kerja-kerja yang baik dalam (sektor) pengilangan. SME (syarikat kecil dan sederhana) akan meraih manfaat daripadanya kerana menerusi kerjasama kajian tersebut, mereka dapat mengakses teknologi-teknologi terkini."

PM Lee menambah bahawa Singapura berada dalam "kedudukan kukuh" pada masa ini setelah "tumbuh degan stabil" sepanjang tempoh lima dekad.

"Kita menikmati pertumbuhan yang tinggi bagi sebahagian besar daripada separuh abad ini - malah, dari semasa ke semasa, melebihi 10 peratus setiap tahun," kata beliau. "Sejak mengecap kemerdekaan pada tahun 1965, GDP sudah tumbuh lebih 40 kali ganda."

Namun sedang ekonomi negara lebih maju, pertumbuhan diunjurkan lebih sederhana kepada dua hingga empat peratus.

PM Lee berkata bahawa perangkaan yang diramalkan sederhana itu "membuatkan sebahagian orang berasa khuatir". "Mereka bimbang sekiranya anak-anak mereka tidak dapat menjalani kehidupan lebih baik daripada kehidupan mereka hari ini."

Sekalipun demikian, perangkaan itu perlu dilihat menerusi perspektif yang betul dan beliau menambah bahawa "dua hingga empat peratus adalah agak baik bagi sebuah ekonomi matang".

PM Lee menambah ekonomi-ekonomi maju lain seperti Korea Selatan dan Taiwan juga tumbuh sekitar kadar tersebut, manakala Jepun tumbuh pada rentak yang lebih perlahan.

Selain itu, kadar pertumbuhan itu "hanyalah anggaran berdasarkan keadaan pembangunan ekonomi kita sekarang".

"Ia bukan had kepada usaha atau aspirasi kita. Syarikat-syarikat dan industri individu tentu sekali boleh melakukan lebih baik lagi, lebih-lebih lagi jika mereka menghasilkan produk yang lebih inovatif atau jika mereka menembusi pasaran-pasaran baru," ujar PM Lee.

"Maka, terdapat banyak peluang untuk ekonomi kita tumbuh dan juga untuk kita membangunkan semula Singapura." 

- CNA/NK/nk

Top