Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banyak guna Bahasa Melayu di rumah tidak jejas penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah - Masagos

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian anugerah Sayembara Teater, di SOTA hari ini (5 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para ibu bapa perlu percaya bahawa dengan anak-anak banyak menggunakan Bahasa Melayu di rumah, ia tidak akan mengurangkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka di sekolah ataupun apabila mereka dewasa nanti.

Demikian ditekankan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Beliau juga yang mengajak masyarakat supaya berusaha melestarikan penggunaan Bahasa Melayu di luar bilik darjah.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian anugerah Sayembara Teater, di SOTA hari ini (5 Nov).

GUNA BAHASA MELAYU DALAM KONTEKS REALISTIK

Seni persembahan teater adalah satu wahana di mana bahasa Melayu boleh digunakan dalam setiap masa dan peluang.

Itulah contoh yang diberikan Encik Masagos mengenai peraduan Sayembara Teater anjuran kumpulan teater Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Tampines West, Teater 2k.

Encik Masagos berkata, platform sebegini menyediakan ruang bagi anak-anak Melayu mengasah dan menggunakan bahasa Melayu dalam konteks yang realistik.

Sayembara teater itu disertai 10 pasukan dari sekolah-sekolah rendah, menengah, pengajian tinggi dan pasukan privet, dengan tujuan menggalak kreativiti dan kemahiran dalam penggunaan Bahasa Melayu.

Encik Masagos berkata: "Bagi guru-guru tugas mereka bukan hanya mengajar bahasa Melayu tetapi menanam cinta pada bahasa sekaligus menanam budaya dan adab sopan Melayu kepada anak didik mereka.

"Saya harapkan juga para asatizah terus mengajar agama Islam sebanyaknya dalam penyampaian bahasa Melayu kerana ini mencantikkan praktik agama kita kerana ia ditopang oleh budaya kita."

HARAP ANAK MUDA TERUSKAN MINAT BERSENI

Encik Masagos menyampaikan hadiah kepada wakil pasukan Politeknik Ngee Ann.

Di akhir pertandingan, antara lain, Sekolah Rendah Evergreen memenangi kategori sekolah rendah manakala pasukan ADI Concept pula dinobatkan juara kategori umum. Kategori sekolah menengah/institut tinggi pula ialah Semangat Sri Nadi dari Politeknik Ngee Ann.

Bagi pencalonan pelakon wanita terbaik pula ia dimenangi Rian Qistina Rahmat (Sekolah Rendah Evergreen), Nor Asfarina Md Ishak (Politeknik Republik) dan Intan Farah Ruhani (Aras Production).

Syed Azrul Shah (Sekolah Rendah Evergreen), Md Nor Hisyam (Politeknik Republik) dan Adi Jamaludin (ADI Concept) pula menyandang anugerah pelakon lelaki terbaik.

Encik Masagos meluahkan harapan agar peluang menerusi sayembara seperti itu dapat mengutuhkan lagi identiti dan budaya masyarakat - sesuatu yang sejajar dengan objektif peraduan tersebut.

Lantaran itu, para peserta diharapkan menjadi pemangkin bahasa dan budaya pada masa-masa mendatang.

"Harapan saya bagi mereka ialah di masa-masa akan datang, kalau ada 10 antara mereka kalau tidak 10, mungkin dalam lima atau enam di antara mereka dapat teruskan minat ataupun perjuangan mereka dalam kerja-kerja seni. Bagi saya itu adalah harapan saya, mereka akan teruskan berseni pada masa-masa akan datang," ujar seorang panel juri peraduan itu Encik Anwar Hadi Ramli.

Kesemuanya 150 peserta terlibat dalam Sayembara Teater ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan