Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Balas-membalas" antara AS-China ancam kemajuan global

Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China menjejas perniagaan dan perbuatan "balas-membalas" pula menjejas sistem perdagangan berbilang pihak.

Anggaran Waktu Membaca:
"Balas-membalas" antara AS-China ancam kemajuan global

Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping. (Gambar: Reuters/Carlos Barria)

Diterbitkan : 16 May 2018 08:15PM Dikemas Kini : 16 May 2018 08:26PM

SINGAPURA: Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China menjejas perniagaan dan perbuatan "balas-membalas" pula menjejas sistem perdagangan berbilang pihak - sekaligus mengancam kemajuan global. Ini lebih-lebih lagi bagi negara-negara kecil seperti Singapura.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (16 Mei).

Berucap di Parlimen, PM Lee menggambarkan bagaimana globalisasi kini berada di bawah tekanan, dengan negara-negara Barat khususnya "mempersoalkan manfaat keterbukaan dan perdagangan bebas".

Beliau berkata pentadbiran Amerika di bawah Presiden Donald Trump sekarang berasa seolah-olah "negara-negara lain lebih banyak meraih manfaat daripada sistem global tersebut sehingga menjejas Amerika Syarikat".

"Mereka mahu memastikan bahawa Amerika Syarikat akan sentiasa meraih manfaatnya secara langsung - satu barangan ke satu barangan, satu negara ke satu negara," kata PM Lee.

Perdagangan menjadi isu utama bagi Amerika Syarikat dan terutama sekali dalam hubungan lebih luas dengan China, ujar beliau.

"Amerika Syarikat masih kuat, khususnya dari segi ketenteraan. Namun China semakin berkuasa, berpengaruh dan kian ramai yang meyakini negara itu. Jika terdapat rasa saling sangsi dan bermusuhan antara kedua-dua negara, ia sebenarnya jarak kecil sahaja - dari pertikaian, menjadi pertelagahan luas dan lebih serius," kata PM Lee.

"Amerika Syarikat dan China masih jauh daripada berperang antara satu sama lain, namun tidak jelas ke arah mana hubungan kedua-dua negara akan menghala.

"Jika mereka menghala ke arah lebih banyak konflik, ia bukan setakat buruk untuk kedua-dua negara itu, malah untuk seluruh dunia juga. Namun sekiranya hubungan mereka menghala ke arah sebaliknya dan kedua-dua negara sepakat untuk saling membahagi-bahagikan dunia antara mereka dan menetapkan syarat-syarat yang hanya membawa manfaat untuk mereka sendiri, maka ini juga boleh menjejas keadaan, terutama sekali bagi negara-negara kecil."

Beliau menambah: "Sebagai sebuah negara kecil dan terbuka, Singapura sentiasa dalam keadaan mudah terjejas dengan apa yang berlaku di sekitar kita. Seperti yang pernah dikatakan Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew: 'Apabila gajah bergaduh, rumput akan terjejas, namun apabila ia mengawan, rumput tetap terjejas'.

"Oleh itu, kita mesti mengikuti perkembangan keadaan di sekeliling kita dan bersiap sedia untuk berubah dan berdepan dengan kejutan."

"UNTUK RANTAU YANG LEBIH AMAN, MAJU"

PM Lee juga akur dengan "perubahan bersejarah" dan "penting" yang berlaku di negara seberang, dengan parti pembangkang Malaysia - yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad - menewaskan Barisan Nasional buat pertama kali.

"Sebagai jiran terdekat Malaysia, kita mesti menjaga hubungan kita dengan mereka," kata beliau. "Kita berharap Malaysia stabil dan maju.

"Kita menjalin hubungan baik dengan Malaysia di bawah kepimpinan mantan perdana menteri Najib Razak dan bekerjasama dalam projek-projek besar yang dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak. Kita juga pernah bekerjasama dengan Dr Mahathir dan beberapa pasukannya sebelum ini. Kita menyelesaikan projek-projek bersama dengan Malaysia semasa Dr Mahathir menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum ini, termasuk membangunkan Linkedua di Tuas. 

"Saya juga berhubungan rapat dengan Anwar Ibrahim kerana beliau pernah menjadi rakan sejawatan saya semasa saya bertugas sebagai Timbalan Perdana Menteri."

Kata PM Lee: "Jangkaan kerajaan baru Malaysia itu amat tinggi dan saya rasa Dr Mahathir amat sibuk pada hari-hari mendatang. Saya merancang untuk mengadakan pertemuan dengannya pada Sabtu ini dan memberitahu beliau bahawa saya mahu bekerjasama lagi dengan beliau demi manfaat bersama (kedua-dua negara)."

Beliau juga menyentuh tentang pilihan raya yang akan datang di Indonesia, sambil merujuk kepada "hubungan kerja yang baik" antara beliau dengan Presiden Indonesia sekarang, Joko Widodo dan juga pemimpin sebelum ini, Susilo Bambang Yudhoyono.

"Saya berharap kita dapat mengekalkan hubungan muhibbah dan berdaya hasil dengan Indonesia juga," kata PM Lee.

"Walau apa pun kitaran politik dan keputusan pilihan raya, kita akan bekerja keras menjalin hubungan dengan kedua-dua negara jiran. Kejayaan mereka akan menjadikan rantau ini lebih aman serta maju dan ini baik untuk kita." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan