Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ASEAN perlu terus kekal sebagai 'pemain utama dan berkesan' di rantau ini

ASEAN mesti terus berusaha menjadi pemain utama dan berkesan di rantau ini, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (13 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Mar 2018 07:34PM Dikemas Kini : 13 Mar 2018 10:57PM

SINGAPURA: ASEAN mesti terus berusaha menjadi pemain utama dan berkesan di rantau ini, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (13 Mac).

Semasa menyampaikan ucapan dasar di Institut ISEAS - Yusof Ishak sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-50, Encik Lee menarik perhatian bahawa tahun 1960-an, iaitu tempoh di mana ASEAN dan ISEAS ditubuhkan, adalah "dunia yang jauh berbeza" berbanding abad ke-21. Perang Dingin sudah lama berakhir, katanya, dan Asia Tenggara kini sebahagian besarnya tenang dan stabil.

Bagaimanapun beliau berkata isu sukar dan mencabar akan sentiasa wujud, untuk ditangani dari masa ke masa. Keseimbangan strategik, yang sedang beralih kedua-duanya di peringkat global dan di rantau ini, juga perlu disesuaikan.

Sambil menekankan kekuatan dan pengaruh yang kian luas bagi kuasa baru seperti China dan India, Encik Lee juga menekankan perlunya bagi negara anggota ASEAN menyesuaikan diri dengan "landskap strategik yang baru dan kian berubah-ubah".

"Negara harus mengambil kira dasar dan kepentingan kuasa baru, sambil mengekalkan secara tradisi hubungan politik dan ekonomi mereka," jelasnya, sambil berkata peluang baru akan diwujudkan seperti Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China.

"Negara anggota ASEAN secara individu akan meraih manfaat, yang kemudian mungkin memberi manfaat kepada ASEAN secara keseluruhannya."

Sehubungan itu, beliau mendedahkan ASEAN harus menyesuaikan diri dengan dinamik dalaman baru, kerana setiap anggota akan merasakan tahap pengaruh yang berbeza daripada kuasa-kuasa baru itu.

"Kami harus terima realiti pasang surut ini, tanpa membiarkannya menyebabkan pecah-belah dalam kumpulan ASEAN ini," kata Encik Lee.

KEKALKAN ASEAN SEBAGAI PEMAIN UTAMA DAN RELEVAN DALAM 'SEKITARAN KIAN BERUBAH'

Dalam ucapannya, Encik Lee juga menekankan peri pentingnya bagi ASEAN berusaha secara aktif bagi mengekalkan sifat utama dan kerelevanannya dalam "sekitaran yang kian berubah-ubah".

Kesemua negara ASEAN, katanya, mahu mengekalkan dan menjalin hubungan dengan Amerika, meskipun ia menyemak secara intensif perdagangan dan dasar asingnya.

"Amerika masih tunggak keselamatan bagi rantau ini dan ekonomi terbesar dunia. Kami sedar bahawa landskap politik di Amerika sudah berubah," katanya. "Pentadbiran Trump sedang memikirkan semula peranannya di peringkat antarabangsa dan bagaimana Amerika harus memperluaskan kepentingan dan pengaruhnya di dunia."

"Bagaimanapun, Amerika sudah mengesahkan dengan jelas tekadnya untuk terus mendampingi Asia, dan negara-negara berharap ia akan terus memainkan peranan aktif, secara khususnya di Asia Tenggara."

Beliau menarik perhatian bahawa kedudukan utama ASEAN penting, tetapi tidak memiliki "hak automatik" dalam menjadi tunjang prasarana di rantau ini.

JADIKAN ASEAN RELEVAN DAN KOHESIF

Encik Lee menggesa setiap negara anggota supaya menyokong dan mempromosikan projek ASEAN itu, bagi memastikan ASEAN kekal relevan dan kohesif.

Setiap anggota ASEAN mempunyai isu domestik dan politik tersendiri yang harus ditangani," katanya.

"Mentadbir sebuah negara secara dalaman menggunakan banyak sumber, tetapi pemerintah dalam ASEAN perlu melihat menjangkaui keprihatinan domestiknya, meletakkan penekanan terhadap ASEAN, melabur modal politik dalam projek ASEAN, dan berusaha untuk berfikir di peringkat serantau dan bukan sahaja di peringkat negara masing-masing."

"Hanya dengan komitmen ini oleh negara-negara anggota barulah kami dapat mengukuhkan kerjasama dan meraih kemajuan bagi ASEAN," dedah Encik Lee,

Beliau juga menarik perhatian bahawa negara anggota ASEAN sudah memberikan sokongan kepada perkumpulan itu sejak beberapa tahun lalu, secara bertahap-tahap. Sebagai contoh, negara anggota ASEAN menyokong antara satu sama lain dalam "tempoh sukar" seperti Krisis Kewangan Asia, penularan wabak SARS dan pelbagai bencana alam.

"Kini kami bekerjasama dalam beberapa bidang baru, termasuk antipengganasan, perubahan iklim dan e-dagang," katanya.

PERANAN S'PURA SEBAGAI PENGERUSI ASEAN

Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Encik Lee berkata Singapura akan "melakukan yang terbaik" untuk memajukan perkumpulan tersebut melalui tema peranan pengerusinya, iaitu "sikap berdaya tahan" dan "inovasi".

"Kami akan memulakan projek bagi mengukuhkan sikap daya tahan kami terhadap ancaman yang biasa dihadapi seperti pengganasan, jenayah siber dan perubahan iklim," katanya. "Kami akan membantu ekonomi ASEAN untuk terus berinovasi dan memanfaatkan teknologi, bagi membina masyarakat lebih dinamik dan terhubung."

Satu projek penting, katanya, adalah untuk menghasilkan Rangkaian Bandar Bijak ASEAN, bagi mewujudkan tempat menarik untuk didiami, bekerja dan beriadah, di semua negara anggota ASEAN.

Bagaimanapun, beliau mengatakan, ASEAN perlu memperluaskan rangkaian kerjasama dengan rakan industri penting.

"Kami sedang berusaha dalam Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), yang merangkumi ASEAN dan enam rakan FTA kami," katanya, sambil mendedahkan ini adalah perkumpulan perdagangan terbesar di dunia apabila ia ditubuhkan kelak, di mana ia meliputi sekitar sepertiga Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan EU bagi Perjanjian Pengangkutan Udara Menyeluruh (CATA) ASEAN-EU, dan ini akan menjadi perjanjian penerbangan pertama yang sebegini besar antara dua perkumpulan perdagangan.

Kedua-duanya, kata beliau, akan membawa "manfaat" kepada rakyat dan rakan industri ASEAN, tetapi akan menjejas beberapa isu.

Encik Lee turut berkata pemerintah ASEAN sudah mengambil pendekatan sedemikian selama separuh abad, dan membawa perkumpulan itu ke satu peringkat di mana ia berada sekarang.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan