Images
  • ng eng hen (1)
    Dr Ng Eng Hen di Forum Putrajaya ke-5. (Gambar: Melissa Goh)

ASEAN perlu 'sahut' cabaran tangani isu keselamatan

SINGAPURA: Dalam ucapan pelbagai tema yang dibuat di Malaysia pada Isnin (16 Apr), Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen menggesa Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) agar "menyahut" cabaran di rantau ini.

"Menjadi kepentingan peribadi kami untuk berbuat demikian," kata Dr Ng dalam ucapannya, yang menyentuh trend politik dan keprihatinan keselamatan di Asia, di Forum Putrajaya ke-5.

Menteri tersebut berkata trend politik yang semakin kukuh di seluruh dunia akan mempunyai kesan di Asia dalam masa 10 tahun akan datang pada tahap ekonomi dan strategik.

Sambil menekankan dasar perdagangan Amerika Syarikat, beliau berkata: "Perwakilan global perdagangan dan kewangan kurang penyokong, dan di Amerika juga, yang menerajui banyak inisiatif sebelum ini bagi pasaran dan peraturan bersama, kini mengamalkan dasar perlindungan 'Amerika Diutamakan'.

"Negara-negara lain mungkin akan ikut serta, bagi meraih lebih banyak manfaat bagi ekonomi tempatan mereka sendiri."

Sambil menggariskan kesan persengketaan Amerika-China terhadap Asia, Dr Ng berkata negara-negara berpengaruh lain seperti Jepun, India dan beberapa lain di Eropah juga akan mahu menyebarkan pengaruhnya di rantau ini.

"Langkah berebut-rebut untuk menjadi yang pertama mungkin memberi kesan terhadap negara kecil seperti Singapura dan Malaysia yang akan meletakkan dalam kedudukan tidak selesa untuk memilih pihak."

Beliau berkata forum sedia ada, seperti Forum Serantau ASEAN, Sidang Puncak Asia Timur dan Sidang Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) memerlukan lebih banyak masa untuk menangani "kelemahan struktur" dalam seni bina keselamatan serantau.

"ADMM-Plus secara khususnya adalah platform pertahanan dan keselamatan yang paling penting bagi rantau ini dan kita mesti berusaha dengan lebih gigih bagi membina daya ketahanan dan meningkatkan kerelevanannya," dedah Dr Ng.

Dr Ng juga menekankan perlunya kerjasama keselamatan berterusan antara negara-negara ASEAN bagi memastikan kestabilan di rantau ini dan terus maju di tengah-tengah bahaya yang kian meningkat di Asia, seperti pengganasan dan ketidakstabilan di Semenanjung Korea.

Sambil merujuk usaha Singapura dalam menangani cabaran keselamatan sebagai Pengerusi ADMM 2018, Dr Ng menggariskan tiga bidang tumpuan: Meningkatkan kerjasama antipengganasan dengan memanfaatkan keupayaan utama tentera, mengukuhkan keupayaan serantau terhadap ancaman kimia, biologi dan radiologi serta menghasilkan langkah praktikal untuk membina keyakinan dan kod bagi pertembungan tidak dirancang di laut dan di udara.

Dr Ng berkata strategi-strategi itu menerima sokongan sebulat suara daripada menteri-menteri pertahanan ASEAN dan menekankan perlunya negara anggota untuk bekerjasama bagi "mengelakkan bahaya" supaya dapat menikmati kestabilan dan kemajuan.

- CNA/IM/im

Top