Images
  • realty app
    Petikan gambar. 

Aplikasi baru bagi para pembeli dan penjual dalam industri hartanah

SINGAPURA: Para pembeli dan penjual rumah kini boleh menghubungi dan memberi penilaian terhadap khidmat ejen hartanah melalui aplikasi yang dinamakan RealHome.

Aplikasi itu mula diuji hari Isnin (12 Mac), dan ia akan dibentangkan kepada orang ramai dalam masa sebulan. Para pengguna boleh meninjau rumah idaman mereka melalui aplikasi tersebut selain mengatur temu janji bersama ejen-ejen yang mengendalikan unit yang ditawarkan.

Aplikasi itu, yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store, dilancarkan oleh Menteri Kedua Pembangunan Negara Desmond Lee. Ia sebahagian daripada usaha untuk mempertingkat khidmat urus niaga, di bawah perancangan perubahan industri hartanah yang diperkenalkan bulan lalu.

Aplikasi itu diterajui oleh ERA Realty, Huttons Asia dan PropNex Realty, dan ia bermatlamat untuk meningkatkan piawai industri dengan membolehkan para pelanggan untuk menilai ejen-ejen hartanah selepas urus niaga selesai dijalankan.

Di majlis pelancaran itu, Encik Lee mengingati para pemain industri bahawa inovasi adalah kunci kepada perubahan industri.

APLIKASI BAGI EJEN HARTANAH BERI LAPORAN SEMASA

Aplikasi bagi ejen hartanah juga dilancarkan oleh tiga agensi itu, di bawah konsortium bukan mencari untung yang ditubuhkan untuk mengurus platform-platform online.

Dengan menggunakan aplikasi RealAgent, ejen-ejen hartanah boleh menerima data urus niaga dan laporan terkini tentang beberapa hartanah.

Matlamatnya ialah untuk membantu mereka menangani cabaran-cabaran seperti kos pengiklanan dan akses kepada maklumat pasaran. Buat masa ini, ejen-ejen hartanah boleh memilih untuk melanggani beberapa portal hartanah untuk perniagaannya.

Encik Lee berkata Pemerintah akan mempermudahkan lagi bagi industri untuk mendapat akses kepada data yang diperlukan, dalam usahanya untuk mengautomasi proses-proses dalam urus niaga hartanah.  

- CNA/AQ/aq

Top