Images
  • tan wu meng
    Dr Tan Wu Meng. (Gambar: CNA)

AP Tan Wu Meng diserang semasa sesi bertemu penduduk, alami cedera ringan

SINGAPURA: AP GRC Jurong Tan Wu Meng diserang oleh seorang lelaki semasa sesi bertemu penduduk (MPS) di Clementi malam semalam (16 Apr).

Dr Tan, seorang AP di GRC Jurong, memberitahu Mediacorp bahawa sedang beliau mengadakan sesi tersebut, seorang lelaki tiba-tiba menerpa lalu menumbuknya pada sekitar 10.00 malam.

"Seorang lelaki muda tiba-tiba memasuki kawasan berkenaan dan mula menumbuk saya," kata beliau. "Lelaki tersebut sedang beratur, dan dia tiba-tiba menerpa dan mula memukul saya."

"Perkara ini berlaku dengan pantas. Saya sebenarnya sedang menemu bual seorang penduduk apabila tiba-tiba seseorang memukul saya dan saya terjatuh ke lantai."

Para relawan serta penduduk yang hadir ketika itu menarik lelaki tersebut dan menahannya, kata Dr Tan.

Polis dihubungi dan tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

"Polis dan SCDF menasihati saya untuk pergi ke A&E (Jabatan Kemalangan dan Kecemasan) dan berjumpa dengan doktor," kata beliau. "Selepas diperiksa di A&E, doktor mengizinkan saya pulang dan meneruskan sesi bertemu penduduk."

Dr Tan berkata bahagian lengannya lebam dan "luka" di bahagian leher, tetapi setakat cedera ringan.

Beliau kembali ke sesi tersebut selepas pulang dari A&E untuk menghabiskan surat-surat rayuan.

"Kami tidak tahu (identiti lelaki muda itu) - dia bukan pengunjung yang sering ke sini," tambah Dr Tan.

"Keutamaan saya buat masa ini adalah memastikan para penduduk dan relawan selamat dan saya berharap lelaki muda itu... akan mendapatkan pertolongan yang sewajarnya."

Beliau turut menambah bahawa polis sudahpun mendapatkan keterangannya dan beliau difahamkan bahawa siasatan sedang dijalankan.

Mediacorp sudah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan komen.  

- CNA/FA/fa

Top