Images
  • manufacturing
    Gambar fail sebuah kemudahan pengilangan di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

AP buruh gariskan langkah tingkatkan upaya pekerja di tengah-tengah digitalisasi

SINGAPURA: Beberapa Anggota Parlimen daripada Gerakan Buruh Singapura hari ini (15 Mei) membincangkan isu-isu berkaitan perkerjaan yang mungkin pupus dalam proses digitalisasi dalam sesi membahaskan Ucapan Presiden di Parlimen.

Presiden Halimah menyentuh tentang keperluan merubah cara rakyat Singapura dilatih supaya mereka terus kekal dalam tenaga kerja negara meski industri dan pekerjaan berubah.

Beberapa idea untuk meningkatkan keupayaan pekerja dikemukakan oleh beberapa AP hari ini (15 Mei).

Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Melvin Yong berkata pekerja, syarikat-syarikat dan pemerintah perlu membayangkan semula pekerjaan pada masa hadapan, terutama sekali dalam bidang automasi, kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang menjadi arus utama dalam pekerjaan, sekali gus menjadi ancaman menggantikan pekerjaan yang wujud buat masa ini.

Selain itu, beliau menekankan tentang pentingnya, menyusun semula tugas, proses-proses kerja dan model perniagaan untuk persediaan masa depan, sambil menekankan tentang perlunya untuk terus meningkatkan kemahiran tenaga kerja yang ada.

Beliau menyarankan supaya Pemerintah memanfaatkan secara optimum prasarana yang ada bagi memudahkan lagi pembelajaran tenaga kerja. Misalnya, dengan membuka sekolah-sekolah kejiranan untuk kelas-kelas malam kemahiran digital.

Rakan sejawatannya yang juga AP GRC West Coast, Encik Patrick Tay, juga menyentuh tentang perlunya perusahaan dan tenaga kerja yang siap siaga dalam menghadapi cabaran masa depan.

Encik Tay akur sesetengah syarikat dan pekerja belum bersedia menjalani perubahan, namun usaha-usaha dijalankan oleh NTUC dalam menghasilkan satu rangka kerja untuk usahasama dalam menukar permikiran terhadap "mengasah kemahiran masa depan".

UTAMAKAN PEKERJA WARGA EMAS DALAM MENGUBAH KEMAHIRAN

Berlatarkan profil tenaga kerja Singapura yang kian menua, Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Heng Chee How, berucap tentang bagaimana Pemerintah boleh membantu pekerja lebih berumur untuk berdepan dengan teknologi dan model-model perniagaan yang kian berubah.

Beliau menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang memberi pekerja lebih berumur peluang yang sama seperti yang dibuka kepada pekerja-pekerja muda, untuk dilatih bagi mengikuti perkembangan semasa.

Selain itu, para pekerja lebih berumur yang berdepan dengan pengalihan atau mereka yang menjangkakan prospek jangka panjang yang lebih baik dalam pekerjaan dan industri lain, juga perlu diberi keutamaan dalam membantu mereka merubah kemahiran masing-masing.

TEKNOLOGI TIDAK SEMESTINYA SATU ANCAMAN

Encik Desmond Choo, Penolong Setiausaha Agung NTUC, juga akur bahawa beberapa pekerjaan berkemungkinan tidak lagi diperlukan. Ini termasuk pekerjaan-pekerjaan seperti pentadbir, eksekutif, penolong kewangan dan operator pengilangan.

Encik Choo menukil pekerjaan dalam telepemasaran sebagai antara contoh di mana tugas dilakukan menggunakan AI. Malah AI juga 'menggantikan' mereka dalam pekerjaan seperti itu.

Meskipun terdapat 'spekulasi' bahawa banyak pekerjaan tidak lagi akan wujud pada masa depan, Encik Choo menekankan bahawa teknologi sebenarnya mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

Encik Choo juga menarik perhatian bahawa automasi tidak hanya menggantikan pekerjaan seperti konduktor bas tetapi ia juga mewujudkan generasi teknisyen dan pakar jalan - jawatan yang beliau sifatkan sebagai "pekerjaan dengan nilai lebih tinggi".  

- CNA/AQ/aq

Top