Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anda naik bas 21, 22, 28, 154 & 161? Inilah bas Bulan Bahasa

Promosi mengenai penggunaan Bahasa Melayu dan sambutan Bulan Bahasa tahun ini akan terus dipamerkan pada bas-bas awam di Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Anda naik bas 21, 22, 28, 154 & 161? Inilah bas Bulan Bahasa

Bas Bulan Bahasa 2018. (Gambar-gambar: MBMS)

BERITAMediacorp: Promosi mengenai penggunaan Bahasa Melayu dan sambutan Bulan Bahasa tahun ini akan terus dipamerkan pada bas-bas awam di Singapura. Khususnya pada bas-bas SBS Transit.

Bas Bulan Bahasa 2018. (Gambar-gambar: MBMS)

Malah, mungkin sebahagian daripada anda sudahpun ternampak atau menaiki bas-bas tersebut kerana perkhidmatan ‘Bas Bulan Bahasa 2018’ itu bermula pada Sabtu lalu (7 Jul).

Ini adalah tahun keempat di mana kempen Bulan Bahasa melibatkan beberapa bas awam demi memastikan kempen menggalak Bahasa Melayu itu terus ketara dalam kesedaran orang ramai. Ia pertama diperkenalkan pada 2015.

Corak dan rekaan kreatif yang ditonjolkan bagi tahun ini kelihatan lebih bertenaga dengan warna jingga berbanding warna-warna lembut seperti hijau dan putih sebelum ini.

Bas Bulan Bahasa 2016. (Gambar-gambar: MBMS)

Bas Bulan Bahasa 2016.

Ia diilhamkan daripada corak awan yang biasa dilihat pada bingkai-bingkai manuskrip tradisional Melayu dan ukiran kayu.

Ilmu, Budaya, Mesra - Bahasa Kita Gunakanlah terus menjadi tema yang dikekalkan termasuk bagi tahun ini. Slogan tersebut diperkenalkan sejak kempen Bulan Bahasa 2013.

Bas Bulan Bahasa 2015. (Gambar-gambar: MBMS)

Bas Bulan Bahasa 2015.

Sebanyak lima perkhidmatan bas akan membawa tema Bulan Bahasa itu ke merata tempat di Singapura. Ini termasuk bas nombor 161 (Hougang-Woodlands), 21 (Pasir Ris-Whampoa), 22 (Ang Mo Kio-Tampines), 28 (Tampines-Toa Payoh) dan 154 (Boon Lay-Eunos).

Warna-warna menarik serta gabungan corak baru dan lama pada rekaan grafik pada bas-bas Bulan Bahasa itu seolah-olah melambangkan budaya Melayu yang sentiasa berkembang tetapi tetap tidak melupakan bahasa Melayu dalam aspek-aspek keilmuan, kebudayaan dan juga komunikasi.

Sebagaimana tahun-tahun lepas, tujuan mempamerkan kempen Bulan Bahasa pada bas-bas awam adalah untuk meluaskan lagi pendedahan kempen tersebut dalam kalangan penduduk sekaligus melestarikan penggunaan bahasa Melayu.

Bas Bulan Bahasa 2018. (Gambar-gambar: MBMS)

Sekiranya anda menaiki bas untuk ke destinasi anda, cuba kerling ke bahagian permukaannya. Manalah tahu kalau-kalau ia adalah bas Bulan Bahasa dan dapat membangkitkan semangat anda untuk berbahasa Melayu apabila berbual-bual dengan keluarga dan rakan-rakan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan