Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amrin sampaikan Kenyataan Negara berhubung bahaya 'benarkan' dadah

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, yang sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Hanoi, Vietnam, menyampaikan Kenyataan Negara yang menggariskan pelbagai cabaran masalah dadah yang kian sukar.

Anggaran Waktu Membaca:
Amrin sampaikan Kenyataan Negara berhubung bahaya 'benarkan' dadah

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin di Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berhubung Isu Dadah. (Gambar: Amrin Amin/ Facebook)

HANOI: Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, yang sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Hanoi, Vietnam, menyampaikan Kenyataan Negara yang menggariskan pelbagai cabaran masalah dadah yang kian sukar.

Berucap di Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berhubung Isu Dadah (AMMD) hari ini (18 Okt), Encik Amrin menyebut tentang ancaman bahan psikoaktif baru, pengedaran dadah secara online dan budaya pengkomersilan dadah.

Antara lain, Encik Amrin berkongsi kebimbangannya tentang trend membenarkan penggunaan dadah di negara-negara lain. Beliau menyebut apa yang berlaku di Colorado, Amerika Syarikat, yang undang-undangnya membenarkan sepenuhnya pengkomersilan dadah marijuana pada 2012.

BESAR AKIBATNYA APABILA 'HALALKAN' DADAH

Akibatnya, harga atau akibat yang perlu dibayar Colorado begitu tinggi, ujar Encik Amrin, dan gambarannya begitu menakutkan. Misalnya:

- Lebih ramai belia di Colorado menggunakan marijuana, 85 peratus lebih tinggi daripada purata nasional

- Lebih ramai orang maut daripada kemalangan trafik yang berkaitan dengan marijuana

- 70 peratus daripada 400 kedai marijuana berlesen menyarankan agar wanita-wanita hamil menggunakan marijuana untuk merawat mabuk hamil

- Bilik-bilik rawatan kecemasan di hospital-hospital Colorado juga mencatat pertambahan tinggi kes-kes kecemasan yang berkaitan dengan kanabis

- Membenarkan penggunaan marijuana tidak mengawal penghasilannya seperti yang disangkakan, sebaliknya ia menyaksikan 80,000 pokok marijuana dalam pasaran haram.

BUKTI, KEADAAN JADI LEBIH BURUK

Semua fakta-fakta ini kata Encik Amrin, membuktikan betapa langkah menghalalkan penjualan dadah seperti marijuana di sisi-sisi undang-undang, sebenarnya "tidak berhasil!"

"Sebaliknya ia membuatkan keadaan menjadi lebih buruk", tegas Encik Amrin lagi.

Lantaran itu kata beliau, kita semua perlu mengambil iktibar dan membuat keputusan yang betul, demi masa depan keluarga dan orang-orang tersayang.

Beliau kemudian berkongsi pendekatan tiga langkah yang diambil Singapura bagi menangani isu dadah tersebut. Iaitu pertama menerusi pendidikan bagi pencegahan dadah; kedua, dengan mempunyai undang-undang yang tegas dan langkah penguatkuasaan yang kukuh; dan ketiga, proses pemulihan yang menyeluruh dan berasaskan bukti.

S'PURA KOMITED KEPADA GAGASAN ASEAN BEBAS DADAH

Sehubungan itu, Encik Amrin juga menekankan pentingnya kerjasama serantau dalam memerangi dadah. Beliau menggesa ASEAN supaya terus menegakkan undang-undang kawalan dadah antarabangsa dan memelihara komitmen rantau ini ke arah "ASEAN Bebas Dadah" yang melindungi warga dan masyarakatnya daripada bahaya dadah.

Singapura ujar beliau, komited menyokong Pelan Kerjasama ASEAN bagi Menangani Pengeluaran dan Pengedaran Dadah di Segi Tiga Emas 2017-2019.

Pelan tersebut pertama kali dilakarkan oleh Thailand dan mendapat sokongan di AMMD kelima pada 2016. Ia juga termasuk tindakan kolektif terhadap dadah bagi 10 tahun akan datang, merangkumi bidang seperti pencegahan, rawatan, pemulihan, penguatkuasaan dan kerjasama antara negara anggota ASEAN.

Selain berkongsi pengalaman mengenai larangan dadah, analisis operasi dan pembangunan keupayaan, Singapura juga bekerjasama dengan Thailand bagi menyumbang bot rondaan untuk menyokong keupayaan rondaan di Sungai Mekong.

Sumbangan tersebut akan meningkatkan keupayaan mencegah dan mengesan dadah serta bertindak sebagai inisiatif menyekat bekalan, untuk menghalang aliran dadah ke ASEAN.

(Gambar-gambar: Amrin Amin/Facebook)

Sementara itu, dalam satu catatan lain di Facebook, Encik Amrin mendedahkan bahawa beliau bertemu Menteri Keselamatan Awam Vietnam Leftenan Jeneral To Lam, di mana kedua-dua mereka mengesahkan hubungan rapat dan kerjasama kukuh antara kementerian dan agensi masing-masing.

"Negara kecil seperti Singapura memerlukan rakan-rakan yang baik. Saya berasa bangga kami mempunyai rakan yang baik di Vietnam," tulis Encik Amrin.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan