Images
  • wonderglow
    Wonderglow mengandungi raksa yang melepasi batas yang ditetapkan, sehingga 7,000 kali. (Gambar: AFP/JOEL SAGET)

Amaran HSA: Jangan beli atau guna produk jagaan kulit Wonderglow, Tati

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (13 Mac) memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan membeli atau menggunakan dua produk kecantikan yang didapati mengandungi raksa dan bahan-bahan terlarang yang lain.

Dalam kenyataan medianya, HSA mendedahkan bahawa produk kecantikan 5-Dalam-1 Jagaan Kulit Tati mengandungi raksa yang melepasi had yang dibenarkan di Singapura sebanyak 50,000 kali termasuk hidrokuinon dan tretinoin.


HSA turut mendapati bahawa sesetengah produk Wonderglow juga mengandungi raksa yang melepasi batas yang ditetapkan, sehingga 7,000 kali.


Produk kecantikan 5-Dalam-1 Jagaan Kulit Tati terdiri daripada krim siang hari, krim sebelah malam, krim rawatan, pelindung cahaya matahari dan krim pembersih; sementara set Wonderglow Whitening Specialist Super Ultra Glowing terdiri daripada krim siang hari, krim sebelah malam dan sabun.

Jika terdedah terlalu lama kepada produk-produk kecantikan yang mengandungi paras raksa yang tinggi, ia boleh membahayakan kesihatan termasuk kerosakan pada ginjal, sistem penghadaman dan saraf.


(Gambar-gambar: HSA)

HSA menambah, penggunaan hidrokuinon, iaitu sejenis agen pemutih kulit dan tretinoin boleh menyebabkan kulit mengalami kemerah-merahan dan rasa berdesing pada kulit sehingga menyebabkannya terkopek.

PENGGUNA DIGESA BERHATI-HATI

Menurut HSA, seorang wanita yang berusia 20-an tahun ditahan di Koswe kerana membawa masuk kedua-dua produk kecantikan itu ke Singapura dan merancang untuk menjualnya di sini. Produk-produk itu dirampas dan dihantar ke HSA untuk diuji.

HSA juga mendapati para peniaga lain menjual produk yang sama secara online.

Wonderglow dipasarkan sebagai produk yang berupaya mengurangkan kesan berkerut dan antipenuaan. Ia juga didakwa dapat mencerahkan kulit dan dilabel dengan tuntutan palsu iaitu "100 peratus dijamin bebas raksa", menurut HSA.

Menurut HSA lagi, ujian yang dijalankan baru-baru ini mendapati Therapy Cream 1 dalam set tersebut mengandungi raksa yang jauh lebih tinggi daripada had yang dibenarkan, iaitu hampir 50,000 kali. Therapy Cream 2 pula mengandungi hidrokuinon dan tretinoin.

HSA menegaskan bahawa pihaknya sudah memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan membeli dan menggunakan produk kecantikan 5-Dalam-1 Jagaan Kulit Tati pada Jun dan September 2017. Produk berkenaan bagaimanapun kembali dijual secara online.

Para pembeli dan pembekal diberi amaran supaya berhenti menjual kedua-dua produk itu dengan serta merta. Sesiapa yang didapati masih berbuat demikian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga S$100,000.

- CNA/FA/im

Top