Allahyarham Othman Wok bentuk identiti masyarakat majmuk di S’pura
Jasa dan kepimpinan mantan Menteri Kabinet Allahyarham Othman Wok dikenang dalam khutbah Jumaat hari ini (21 Apr).
SINGAPURA: Jasa dan kepimpinan mantan Menteri Kabinet Allahyarham Othman Wok dikenang dalam khutbah Jumaat hari ini (21 Apr).
Allahyarham Othman Wok disifatkan sebagai seorang pemimpin yang menegakkan dasar berbilang kaum di Singapura dan membentuk identiti masyarakat majmuk di negara ini.
Malah, keharmonian kaum yang dikecapi Singapura sekarang adalah hasil pengorbanan, keberanian dan pemikiran jauh para pemimpin dan individu masyarakat seperti Allahyarham Othman Wok.
Masyarakat Islam diingatkan bahawa keamanan dan keharmonian adalah antara perkara utama yang perlu sentiasa dipelihara, khususnya bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Singapura.
Setiap orang perlu memainkan peranan supaya keharmonian ini terus terpelihara meskipun negara berdepan dengan pelbagai cabaran baru.
Semasa khutbah, jemaah juga dinasihatkan bahawa usaha murni menjaga nilai-nilai keharmonian bukan sahaja tanggungjawab pemimpin negara, malah ia harus dipikul sama oleh rakyat demi memastikan generasi masa akan datang berpeluang hidup dalam keadaan aman dan selamat.
Allahyarham Othman Wok, yang pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan dan Kebajikan Masyarakat, meninggal dunia pada usia 92 tahun di Hospital Besar Singapura (SGH) pada Isnin (17 Apr).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.