Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi amah didenda S$5,000, bawa masuk amah Myanmar 14 tahun

Sebuah agensi amah didenda S$5,000 kerana melanggar syarat-syarat pelesenan dengan menggajikan seorang pembantu rumah asing berusia 14 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi amah didenda S$5,000, bawa masuk amah Myanmar 14 tahun

Gambar fail.

Diterbitkan : 15 Jun 2018 03:20PM Dikemas Kini : 15 Jun 2018 03:21PM

SINGAPURA: Sebuah agensi amah didenda S$5,000 kerana melanggar syarat-syarat pelesenan dengan menggajikan seorang pembantu rumah asing berusia 14 tahun.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan hari ini (15 Jun) bahawa Casa Employment Specialist didapati bersalah kerana gagal memastikan seorang pembantu rumah memenuhi syarat usia sekurang-kurangnya 23 tahun.

Perkara ini dikesan pada Julai tahun lalu, ketika rakyat Myanmar itu mendedahkan umur sebenarnya kepada para pegawai di Pusat Perkhidmatan MOM.

Casa tidak melakukan apa-apa untuk mengesahkan usianya ketika menjalankan pemeriksaan, dan hanya bergantung kepada maklumat yang disediakan oleh agensi pekerjaan dari luar negara.

Apabila perkara ini terbongkar, permohonan pas kerja remaja itu ditolak dan beliau dihantar pulang ke negara asalnya. Beliau juga dilarang bekerja di Singapura sehingga usianya mencecah 23 tahun, menurut MOM.

Agensi amal itu didakwa pada Mei, termasuk Khor Siew Tiang (35 tahun) - pemilik tunggal Vista Employment Services - yang dituduh membawa masuk seorang pembantu rumah bawah umur dalam kes berasingan.

HAMPIR 100 AGENSI PEKERJAAN LANGGAR SYARAT

Pengarah Jabatan Kebajikan MOM Jeanette Har berkata bahawa kes syarikat berkenaan satu "peringatan" kepada semua agensi pekerjaan lain supaya memandang serius terhadap tanggungjawab mereka.

"MOM akan terus pantau, dan agensi pekerjaan yang gagal menjalankan tugas mereka untuk menjaga klien akan dihukum," tambah beliau.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, MOM mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 98 agensi pekerjaan kerana gagal memastikan pembantu rumah mereka memenuhi syarat had usia yang ditetapkan, menurut kementerian itu.

Dalam kenyataan medianya, MOM menekankan bahawa semua agensi pekerjaan perlu memastikan pembantu rumah yang dibawa masuk ke Singapura memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

Agensi-agensi yang tidak bertanggungjawab akan dikenakan denda, mata demerit, penggantungan lesen, dihadapkan ke mahkamah dan ditarik balik lesennya bagi "kes-kes yang sangat serius". Pesalah-pesalah ini juga akan dilarang buat selama-lamanya daripada menjalankan perniagaan dalam industri tersebut.

Ia menggesa semua majikan supaya berhati-hati ketika memilih pembantu rumah dan mendapatkan penjelasan daripada agensi masing-masing jika berasa curiga tentang usia atau latar belakang pembantu rumah mereka.

Jika para majikan mengesyaki pembantu rumah yang disarankan oleh pihak agensi berusia kurang daripada 23 tahun, mereka tidak harus mendapatkan khidmat agensi itu dan sebaliknya membuat aduan kepada MOM.

Orang awam juga boleh melaporkan sebarang bentuk pelanggaran syarat-syarat pelesenan agensi pekerjaan kepada MOM dengan menghubungi talian +65 6438 5122 atau mengirimkan emel kepada mom_fmmd [at] mom.gov.sg. Maklumat anda akan dirahsiakan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan