Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

70% kes barah hidung hanya dikesan di tahap lanjut

Namun orang awam kini boleh mendapatkan pemeriksaan awal di NCIS jika mereka mempunyai para ahli keluarga yang merupakan pesakit NPC.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Jun tahun lalu, seminggu sebelum beliau dijadualkan menjalani pembedahan tulang belakang, Encik Jaffar Abdullah, 55 tahun, dikejutkan dengan satu lagi khabar buruk.

Menerusi imbasan MRI, ketumbuhan sebesar 1.5 sentimeter ditemui di belakang hidung Encik Jaffar.

Seminggu kemudian, beliau disahkan menghidap barah hidung (NPC) tahap kedua.

"Yang menjadi tanda tanya saya, saya tidak mempunyai apa-apa simptom. Biasa orang kalau ada barah hidung ini, dia akan berdarah hidung dia akan tak boleh bernafas dengan sempurna tapi ini tak ada terjadi pada saya," kongsi Encik Jaffar kepada BERITAMediacorp.

Sesungguhnya malang tidak berbau.

Walau begitu, Encik Jaffar di kalangan yang ‘bertuah’ kerana 70 peratus daripada kes NPC hanya dikesan di tahap ketiga atau empat - dengan antara 50 hingga 80 peratus harapan sembuh berbanding lebih 80 peratus jika dikesan awal.

Menurut Dr Choo Bok Oi, Konsultan Kanan dari Jabatan Onkologi Radiasi Institut Barah Universiti Nasional (NCIS), kebanyakan kes dikesan lewat kerana tanda-tanda NPC sukar dikenalpasti dan seringkali dianggap sebagai sakit biasa.

"Jadi, kesedaran awal sangatlah penting kerana gejala umumnya seperti hidung berdarah sangat biasa dan pembengkakan kelenjar leher juga biasa. Kalau ada jangkitan kuman di kerongkong dan biasanya pesakit tidak akan pergi jumpa doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT).

"Tetapi, nasihat utama saya adalah kalau gejala ini berlanjutan selama lebih dari tiga minggu dan semakin serius untuk jumpa doktor pakar untuk pemeriksaan lanjutan," tegas Dr Choo.

SALAH SATU PUNCA BARAH HIDUNG - FAKTOR KETURUNAN

Setelah menjalani hampir 40 sesi radioterapi dan kemoterapi, Encik Jaffar kini disahkan bebas daripada barah sejak Februari lalu.

Setiap tahun, lebih 220 kes NPC dilaporkan di Singapura. Ia paling menjejas kaum Cina, diikuti dengan kaum Melayu yang membentuk 10 peratus daripada jumlah tersebut.

Salah satu puncanya - faktor keturunan.

"Misalnya, risiko menghadapi NPC adalah tujuh kali lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai adik beradik yang pernah menghidapi NPC dan tiga kali lebih tinggi jika ibu bapa adalah bekas pesakit," jelas Dr Choo.

Selain itu, NPC juga boleh disebabkan oleh jangkitan virus Epstein-Barr, pengambilan makanan yang diawet secara berlebihan serta tabiat merokok.

Setakat ini, masih belum ada lagi ujian pemeriksaan awal yang benar-benar berkesan untuk mengesan NPC.

Namun orang awam kini boleh mendapatkan pemeriksaan awal di NCIS jika mereka mempunyai para ahli keluarga yang merupakan pesakit NPC.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 9111 5561.  

Sumber : BERITA Mediacorp/NT/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan