Images
  • smoke
    Gambar hiasan sebuah almari di kedai 7-Eleven. (Gambar: Monica Kotwani)

7-Eleven antara 6 peruncit disaman jual rokok pembeli bawah umur

SINGAPURA: Beberapa peruncit, termasuk sebuah cawangan 7-Eleven, dikenakan tindakan kerana menjual rokok kepada pembeli bawah umur 18 tahun - termasuk seorang belia berusia 13 tahun, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hari ini (12 Jul).

Lesen salah satu peruncit, Mohamed Buhari Trading, dibatalkan kerana menjual rokok kepada seorang belia berusia 17 tahun yang memakai uniform sekolah.

Peruncit itu, yang terletak di 103 Teck Whye Lane, tidak lagi dibenarkan menjual produk-produk tembakau.

LESEN TEMBAKAU DIGANTUNG

Lesen lima lagi peruncit, termasuk sebuah cawangan 7-Eleven di Simei, turut digantung selama enam bulan buat pertama kali kerana menjual tembakau kepada pembeli bawah umur 18 tahun.

Menurut HSA, salah seorang daripada penjual itu menjual rokok kepada belia berusia 13 tahun dan mendakwa bahawa beliau tidak memeriksa kad pengenalannya kerana tidak sihat.

Para penjual yang lain pula mendakwa bahawa mereka tidak memeriksa kad pengenalan pembeli kerana sedang sibuk ataupun para pembeli kelihatan seperti orang dewasa.

Kedai-kedai yang digantung lesen adalah: Eng Lee & Co di 57 Lengkok Bahru, Hla Lay New di 303 Jurong East Street 32, Kee Guan Huat Supermarket di Blk 308 Clementi Avenue 4, Sathya Mini Mart di 242 Serangoon Avenue 3 dan 7-Eleven di 30 Simei Street 3.

ORANG AWAM JUGA BOLEH DIDENDA

HSA memberi amaran bahawa para penjual berisiko melanggar undang-undang jika mereka menilai usia pembeli hanya setakat berdasarkan keterampilan pembeli.

Sesiapa yang didapati menjual produk-produk tembakau kepada mereka yang berusia bawah 18 tahun boleh didenda, dengan denda maksimum sehingga S$5,000 bagi kesalahan pertama dan S$10,000 untuk kesalahan kedua atau seterusnya.

Selain itui, lesen runcit tembakau akan digantung selama enam bulan bagi kesalahan pertama dan dibatalkan selepas melakukan kesalahan kedua.

Namun, sekiranya kedai itu didapati menjual produk-produk tembakau kepada pembeli bawah umur 18 tahun yang memakai uniform sekolah ataupun mereka yang berusia bawah 12 tahun, lesen itu akan terus ditarik balik walaupun bagi kesalahan pertama, menurut HSA.

HSA sudah menggantung lesen 73 peruncit tembakau dan menarik balik 11 lesen sejak 2015.

Orang ramai juga boleh didenda jika mereka didapati membeli produk-produk tembakau untuk mereka yang berusia bawah 18 tahun.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda S$2,500 untuk kesalahan pertama dan sebanyak S$5,000 bagi kesalahan kedua atau seterusnya.

Begitu juga bagi sesiapa yang didapati memberi atau menawarkan produk tembakau kepada sesiapa yang berusia bawah 18 tahun.

Mereka boleh dikenakan denda maksimum sehingga S$500 untuk kesalahan pertama dan sehingga S$1,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

18 individu sudah didenda atas kesalahan-kesalahan sedemikian sejak 2015. 

- CNA/KN/kn

Top