Images
  • abc1
    Tujuh belia harapan diberikan Anugerah Belia Cemerlang 2018 dalam majlis di Bangunan Alumni Yayasan Shaw pada 13 Okt. (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

7 belia terima Anugerah Belia Cemerlang MENDAKI; pertama kali Anugerah Pengajian diberikan

SINGAPURA: Tujuh belia berpotensi diberikan Anugerah Belia Cemerlang (ABC) 2018 dalam majlis anjuran MENDAKI.

Anugerah itu mengiktiraf belia Melayu/Islam yang berbakat dalam pelbagai bidang bukan akademik seperti seni halus, muzik, sukan, kulinari dan reka bentuk. Ia sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong.

ABC 2018 terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Anugerah Tempatan (Local Award), Anugerah Luar Negara (Overseas Award) dan Anugerah Pengajian (Study Award). Anugerah Pengajian dikeluarkan buat pertama kalinya tahun ini dan dua orang menjadi penerimanya.

Daripada tujuh penerima ABC, lima penerima diberikan Anugerah Tempatan, manakala dua yang lain menerima Anugerah Luar Negara.

Mereka yang menerima Anugerah Tempatan adalah Farhan Hanis (Politeknik Temasek), Noryn Sazali (Akademi Seni Halus Nanyang), Abdul Hakeem James Hausley (Akademi Seni Halus Nanyang), Nadia Asyikin Abdul Malik (Universiti Teknologi Nanyang) dan Siti Zahrah Syafiah Jailani (Kolej Kesenian LASALLE).

Penerima Anugerah Luar Negara pula terdiri daripada Armiliah Mohamed Aripin (Sekolah Filem dan Televisyen Nasional) dan Syahirah Saripin (Universiti Brighton).

AMRIN AMIN LAHIR RASA BANGGA ATAS PENCAPAIAN BELIA

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin, selaku tetamu terhormat majlis penyampaian anugerah itu, yang diadakan pada malam Sabtu (13 Okt), melahirkan rasa bangganya dengan pencapaian para belia Melayu/Islam itu.

“Saya gembira mendengar hasrat mereka berura-ura untuk menjadi P. Ramlee masa hadapan mahupun arkitek tersohor. Saya rasa ini cita-cita yang sangat baik. Ini menunjukkan belia kita dapat banyak peluang dan memanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya juga gembira mereka menggunakan bakat ini untuk memperbaiki situasi sekarang dan berjasa dengan masyarakat. Saya rasa ini sikap yang baik (di mana) belia-belia kita ada sikap kekitaan dan ini adalah satu perkara yang harus kita galakkan dan iktirafkan untuk mereka meneruskan perjuangan ini,” kata Encik Amrin, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan.

SITI ZAHRAH SYAFIAH DIDIK KANAK-KANAK KHAS MELALUI TEATER

Salah seorang daripada lima penerima ABC 2018 ialah pelajar sepenuh masa di Kolej Seni LASALLE, Siti Zahrah Syafiah Jailani, 28 tahun.


Beliau kini menyumbang kembali kepada masyarakat dengan mendidik kanak-kanak khas bagi membantu mereka berhubungan lebih baik melalui seni teater.

“Saya mengajar kanak-kanak disleksia dan mahu membina keyakinan mereka untuk berkomunikasi. Saya pernah lihat peningkatan dalam bagaimana mereka menampilkan diri mereka, dan ini mendorong saya untuk meneruskan dalam bidang ini,” kongsi Cik Zahrah.

ANUGERAH PENGAJIAN ELEMEN BARU TAHUN INI

Dua belia yang menjadi penerima sulung Anugerah Pengajian ABC semasa majlis anugerah tersebut, ialah Firdaus Abdul Hamid dan Cik Norfalisa Mohamed Rohaizad.

Anugerah Pengajian bertujuan menyokong pelajar dewasa supaya meneruskan pendidikan posmenengah dan menimba kemahiran baru. Ia juga bertujuan menggalak belia Melayu supaya terus mendakapi konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Encik Firdaus yang berusia 38 tahun bekerja sebagai seorang jurutera marin sambilan. Beliau kini ingin mengambil diploma dalam jurusan kaunseling bagi membantu masyarakat.

Ini terutama sekali selepas beliau pernah dihukum penjara sekali, berada dalam tahanan sebanyak tiga kali dan terlibat dalam kemalangan yang membabitkan keluarganya.


“Saya tidak dibesarkan dalam keadaan mewah, tetapi Alhamdulillah saya berjaya bangkit semula dan ingin mengubah hidup saya. Saya ingin menolong orang,” ujar Encik Firdaus.

PERUNTUKAN ANUGERAH NAIK KEPADA $100,000

ABC 2018 juga menyaksikan peningkatan dalam peruntukan kewangannya bagi para penerima yang layak. Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam berkongsi bahawa jumlah itu meningkat kepada $100,000, berbanding $80,000 tahun lalu.

“Ini dengan harapan untuk memberi lebih kepada seseorang penerima agar ia dapat melengkapi keperluannya dan agar kita dapat memberi kepada lebih ramai penerima.

“Diharapkan dengan usaha begini, lebih ramai yang dapat diiktiraf dan mendapat sokongan. Dan harap-harap ini dapat membantu mereka dalam apa usaha yang sedang mereka jalankan dan perbaiki diri mereka,” kata Cik Rahayu, yang juga salah seorang Anggota Lembaga Pengarah MENDAKI.


(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

Cik Rahayu juga memberikan Anugerah Pencapaian Khas bagi Kecemerlangan (Bukan Akademik) kepada 22 pelajar lain. Ini termasuk para belia yang cemerlang dalam pertandingan di dalam dan luar negara. Mereka menerima hadiah wang antara S$300 hingga S$1,000 berserta sijil pencapaian.

Majlis penganugerahan tersebut berlangsung di Bangunan Alumni Yayasan Shaw dan ini kali ke-14 ia dianjurkan.  

- BERITAmediacorp/im

Top