Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

60 pelajar S'pura lulus dari Universiti Al-Azhar - satu rekod tertinggi

Tahun ini, seramai 60 pelajar Singapura lulus dari Universiti Al-Azhar di Mesir - iaitu jumlah paling ramai mahasiswa Islam Singapura yang lulus dari universiti Islam berprestij itu. 

Anggaran Waktu Membaca:

KAHIRAH, MESIR: Tahun ini, seramai 60 pelajar Singapura lulus dari Universiti Al-Azhar di Mesir - iaitu jumlah paling ramai mahasiswa Islam Singapura yang lulus dari universiti Islam berprestij itu.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut mendedahkan bahawa Sali Atikah Abdullah Sani, yang lulus dalam jurusan undang-undang Islam (Syariah) dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama (Mumtaz Sharaf), terpilih selaku pelajar terbaik atau valediktorian bagi kohort 2018 itu.

Majlis konvokesyen bagi para graduan tersebut - yang mengikuti bidang pengajian seperti syariah Islam, teologi Islam, bahasa Arab dan sastera - berlangsung di kota Kahirah semalam (15 Okt).

Lebih manis lagi, mereka menerima ijazah masing-masing dari Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, yang berada di sana selaku tetamu kehormat majlis konvokesyen itu.

MASAGOS LAHIR RASA "BANGGA"

Menulis di laman Facebooknya, Encik Masagos berkata beliau bangga untuk menyambut bersama hari penting itu bersama para graduan tersebut.

"Kerja keras mereka berhasil dan mereka mempunyai masa depan yang cerah. Ia merupakan malam yang istimewa kerana bagi sesetengah mereka, keluarga mereka turut hadir untuk berkongsi kebahagian bersama," kata beliau yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Ini kali pertama Encik Masagos hadir dalam majlis konvokesyen Universiti Al Azhar selaku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. Turut hadir adalah Pemangku Timbalan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Saleh Abbas dan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad.

ASATIZAH PERLU TINGKATKAN KEMAHIRAN UNTUK KEKAL RELEVAN

Encik Masagos turut berkongsi beberapa inti pati ucapannya semasa majlis itu. Antaranya beliau bengongsi pandangannya tentang landskap ekonomi Singapura yang pesat berubah-ubah.

Maka itu kata Encik Masagos menggesa para graduan baru itu supaya meningkatkan diri dengan melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran baru untuk kekal relevan sebagai asatizah.

Encik Masagos menambah: "Kemahiran-kemahiran seperti itu boleh menambah nilai kepada pekerjaan dalam bidang keagamaan serta meningkatkan keupayaan mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat dan selanjutnya. Dengan kemahiran-kemahiran baru, mereka juga boleh berbakti kepada bidang-bidang dan pekerjaan lain."

ASATIZAH TUNGGAK MASYARAKAT

Sebelum majlis konvokesyen itu, Encik Masagos turut mengadakan satu sesi dialog dengan para pelajar Singapura yang menuntut di universiti Islam tertua di Mesir itu.

Sama seperti pertemuannya dengan para mahasiswa dari universiti-universiti Jordan kelmarin, Encik Masagos menulis bahawa para pelajar Al-Azhar itu turut berminat untuk berbincang tentang masa depan mereka.

Antaranya ia meliputi persoalan seperti prospek pekerjaan, peluang pembelajaran sepanjang hayat, selain peranan mereka dalam memberi bimbingan kepada masyarakat khususnya dalam dunia yang mencabar dan kompleks hari ini.

"Saya tekankan lagi bagaimana golongan asatizah itu merupakan tunggak masyarakat dan mereka penting bagi mencapai sebuah Singapura yang bersatu padu dan harmoni," kata Encik Masagos yang turut menarik perhatian betapa berbekalkan kelulusan keagamaan, ini menjadi asas kuat untuk para graduan "dengan yakin membimbing masyarakat".

Beliau berkongsi bahawa terdapat banyak platform dan saluran di mana golongan asatizah boleh memberikan sumbangan mereka apabila mereka pulang nanti, antaranya ialah menerusi usaha M³. M³ adalah inisiatif bersama antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI dan Majlis Penyelaras Kegiatan-Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) bagi masyarakat Melayu. 

INSTITUSI AL-AZHAR TETAP MENJADI DESTINASI UTAMA

Dalam lawatannya selama tiga hari itu, Encik Masagos mengadakan perbincangan dengan Sheikh Saleh Abbas dan beberapa pegawai kanan Al Azhar.

Menurut Encik Masagos lagi daripada sesi tersebut, kedua-dua pihak mengesahkan lagi peranan penting yang dimainkan Al-Azhar sebagai institusi pengajian tinggi yang akan menjadi destinasi utama bagi pelajar Singapura yang ingin menjadi pemimpin agama dan asatizah.

Beliau mengakhiri catatannya dengan mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti Al-Azhar atas layanan mereka terhadap para pelajar Singapura yang menuntut di sana.

"Kami mengalu-alukan lebih banyak kerjasama yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara," kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan