Images
  • arif budiman
    5 guru Bahasa Melayu dinobat Anugerah Guru Arif Budiman. (Gambar: Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid)

5 guru Bahasa Melayu dinobat Anugerah Guru Arif Budiman

SINGAPURA: Lima guru Bahasa Melayu menerima pengiktirafan dan diberi Anugerah Arif Budiman (AGAB) pada tahun ini.

Mereka adalah Cikgu Roslie Buang Sidik, Cikgu Mohammad Zareen Mohamed Shariff, Cikgu Rita Zarina Mohd Nazeer, Cikgu Khairyanie Kamsani dan Cikgu Amirul Asri Hussin.

Guru-guru itu menerima anugerah mereka daripada Menteri Kewangan Encik Heng Swee Keat dalam satu majlis penyampaian AGAB 2018 di Orchid Country Club.

Dua guru muda menerima AGAB Perangsang - anugerah bagi guru yang mempunyai kurang 10 tahun pengalaman.

BERITA menemui salah seorang penerima anugerah itu yang berkongsi kaedah pembelajaran berteraskan deria bagi murid sekolah rendah.

TEKNIK DERIA BAGI 'PIKAT' ANAK MURID

"Bila awak pegang batu ini, apa yang awak lihat dan rasa?"

"Batu ini berat, dan berwarna hitam"

Teknik mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan perbandingan konsep 'Perbandingan Semacam' diterapkan Cikgu Khairyanie Kamsani bagi anak muridnya dari darjah satu hingga tiga.

Dengan menggunakan bahan-bahan yang 'dekat' dengan hati pelajarnya, beliau menjadikan pembelajaran di dalam kelas lebih interaktif menerusi penggunaan ICT.

Kaedah itu menurut Cik Khairyanie lebih berkesan dan efektif memandangkan para pelajar menggunakan deria dalam pengalaman pembelajaran mereka.

Beliau akur pengalaman selama sembilan tahun di Sekolah Rendah Gan Eng Seng, melatihnya untuk mencuba pendekatan baru yang disesuaikan dengan keperluan pelajar yang berbeza, agar para pelajar seronok mempelajari bahasa Melayu di dalam bilik darjah.

"Jadi apa sahaja yang mereka pelajari dalam bahasa Inggeris contohnya kata-kata atau frasa-frasa yang indah, kita juga ada dalam bahasa Melayu seperti peribahasa, bandingan semacam, jadi saya rasa itu adalah cabarannya, kerana penting untuk saya memikirkan idea-idea menarik yang dapat memupuk minat pelajar terhadap penggunaan bahasa Melayu," katanya yang turut memikul tugas menyelaraskan subjek Bahasa Melayu di sekolahnya itu.

2 GURU DIANGKAT SEBAGAI PENERIMA ANUGERAH PERANGSANG

Selain Cik Khairyanie, Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) bagi kategori Perangsang, turut disampaikan kepada Cikgu Amirul Asri Hussin, guru dari Sekolah Rendah Evergreen.

Antara ukur tara pemilihan anugerah tersebut ialah keupayaan meningkatkan kemahiran dan minat dalam pembelajaran bahasa, dan budaya Melayu kepada diri murid-murid.

3 GURU TELADAN DINOBAT

Majlis hari ini (10 Nov) turut mengiktiraf tiga guru cemerlang yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun.

Salah seorang penerimanya, Cikgu Rita Zarina Mohd Nazeer dari Sekolah Menengah Marsiling sudah menyumbang bakti dalam sektor pendidikan selama dua dekad.

"Sebagai seorang guru yang ingin kekal relevan kepada para pelajar kita terutama kepada para pelajar yang menggunakan pelbagai alat dan IT agar kita dapat bersama-sama meningkatkan ilmu bukan sahaja dari bidang bahasa Melayu tetapi juga mengikut arus pendidikan yang sedia ada," katanya.

Dua lagi penerima AGAB Teladan adalah Cikgu Roslie Buang Sidek dari Sekolah Rendah Fernvale dan Cikgu Mohammad Zareen Mohamed Shariff dari Sekolah Rendah Loyang

Guru-guru itu dipilih daripada 131 pencalonan yang diterima dengan seramai 78 dari sekolah rendah dan 53 dari sekolah menengah atau prauniversiti.

AGAB mengiktiraf sumbangan guru-guru Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda. 

- BERITAmediacorp/UR/ai

Top