Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4PM sambut ulang tahun ke-70, ingin terus memasyarakatkan pendidikan

BERITAMediacorp meninjau perjuangan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) sepanjang tujuh dekad lalu menjelang majlis ulang tahunnya esok (13 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) akan meraikan ulang tahunnya yang ke-70 dalam satu majlis gilang gemilang esok (13 Jul).

Dalam laporan berikut, BERITAMediacorp meninjau perjuangan 4PM sepanjang tujuh dekad lalu dan apa lagi yang diperlukannya.

4PM DITUBUHKAN SEBELUM ZAMAN KEMERDEKAAN

Mungkin ramai yang kini lebih mengenalinya sebagai persatuan yang menganjurkan acara Bahas 4PM di peringkat nasional.

Namun sebenarnya sejak ditubuhkan pada tahun 1948 lagi, persatuan Melayu/Islam itu memberikan fokus kepada pendidikan demi pembangunan masyarakat Melayu.

(Gambar ihsan: 4PM)

Ini kerana pada zaman itu ramai tidak mendapatkan pendidikan formal yang asas.

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Tenaga Manusia, Encik Hawazi misalnya berkongsi bersama BERITAMediacorp tentang pengalamannya mengusahakan program pendidikan, dipanggil Kelab Kanak-kanak.

"Saya ingat itu masa tahun 1972, 1973 masa saya di Maktab Rendah lagi, cuba ingin mendorong para pelajar muda di peringkat rendah untuk ada aspirasi cemerlang dalam bidang pendidikan. jadi saya kumpulkan kanak-kanak dalam usia 11, 12 tahun untuk mengikuti kelas bimbimgan pada waktu malam.

"Selain daripada mengikuti kelas bimbingan waktu malam, dua kali seminggu, mereka kumpul pada pagi Ahad untuk belajar menyanyi, belajar bermain angklung, berlajar bermain musik bersama," kata Encik Hawazi yang merupakan bekas Setiausaha Agung 4PM.

LENTUR BAKAT JADI PEMIMPIN MASYARAKAT

Dengan ruang kepimpinan disediakan 4PM buat golongan belia Melayu, sebilangan daripada mereka berjaya dibentuk sehingga menjadi pemimpin masyarakat, sebagai contoh Anggota Parlimen Jurong Cik Rahayu Mahzam dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Cik Zuraida Kamaruddin.


Encik Zainul Abidin Rasheed, yang juga mantan Anggota Parlimen serta mantan Presiden bagi MUIS turut akur penglibatan aktifnya dalam 4PM banyak membantunya untuk berfikir secara kritis terhadap isu-isu semasa.

"Bagi saya secara peribadi, 4PM adalah satu badan Melayu Islam kita yang mana saya rasa terhutang budi, kerana semenjak dari bangku sekolah lagi, saya telah mendapat manfaat dari segi kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh 4PM. Umpamanya saya sering mengikuti, ikut serta dalam peraduan bahas, peraduan bercakap petah, dan ini telah membantu saya untuk menajamkan kebolehan saya untuk berucap, untuk berfikiran terbuka," cerita Encik Zainul.

(Gambar ihsan: 4PM)

Beliau menambah bahawa 4PM adalah satu pertubuhan yang ikut sama dalam "keprihatinan masyarakat Melayu setempat". Pada masa itu masyarakat Melayu berdepan dengan banyak isu serta "ketinggalan, terbelakang dari segi pendidikan, ekonomi, dalam isu sosial" ujar beliau. Namun 4PM ikut sama dalam menangani isu-isu sosial itu, tambahnya lagi.

TERUS INGIN MEMASYARAKATKAN PENDIDIKAN

Masih lagi berpegang teguh kepada matlamat memasyarakatkan pendidikan, 4PM kini meluaskan khidmatnya termasuk mengadakan program bimbingan dan pelibatan masyarakat bagi belia berisiko.

Memandang ke hadapan, Presiden 4PM Encik Izzuddin Taherally berharap lebih ramai relawan muda akan tampil untuk menyumbang tenaga bagi pembangunan masyarakat yang progresif.

"Bagi 4PM yang paling penting sekali ialah untuk meneruskan pencapaian 4PM selama 70 tahun ini bagi membentuk satu tenaga muda yang sangat-sangat diperlukan bukan sahaja untuk 4PM tapi untuk masyarakat kita," tekan beliau yang sudah menjadi Presiden 4PM selama 20 tahun.

Sambutan ulang tahunnya esok akan dihadiri Presiden Halimah Yacob. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan