Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

450 murid prasekolah sertai Karnival Bahasa Melayu PPIS

Karnival itu adalah sebahagian daripada usaha PPIS untuk menyemai rasa cinta terhadap bahasa dan budaya Melayu di kalangan murid-murid sejak kecil lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 450 murid prasekolah menghadiri Karnival Bahasa Melayu yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Karnival itu adalah sebahagian daripada usaha PPIS untuk menyemai rasa cinta terhadap bahasa dan budaya Melayu di kalangan murid-murid sejak kecil lagi.

Pada masa yang sama, karnival yang berlangsung Sabtu lalu (13 Okt) itu diharap dapat menyediakan ruang dan peluang bagi murid-murid menggunakan bahasa Melayu di luar bilik darjah.

"BELAJAR LAGU RAKYAT, BUDAYA , ADAT RESAM!"

Selama setengah hari, kanak-kanak itu didedahkan kepada persembahan-persembahan tradisional dan juga seni kraf tangan seperti melukis batik dan membuat tanjak di Karnival Bahasa Melayu PPIS.

Apabila ditanya apakah yang dipelajari mereka, secara berseloroh mereka berkata: 'Lagu rakyat', 'Budaya dan adat resam'.

Maka itu, karnival tersebut adalah satu pendekatan yang holisitk dalam mengembangkan minat murid-murid untuk mempelajari bahasa dan budaya Melayu.

"Saya rasa murid-murid dapat mendengar lagu-lagu rakyat yang kurang dimainkan pada masa ini dan mereka juga dapat tampil ke hadapan untuk membuat persembahan.

"Saya kira ini membantu untuk meningkatkan keyakinan mereka. Mereka juga dapat melihat pelbagai barangan tradisional Melayu. Jadi di situ, mereka dapat mencuba dengan lebih dekat lagi," kata guru tadika PPIS Pasir Ris 1, Nur Amira Alwi.

DR FAISHAL: KEGIATAN SEBEGITU MEMBENTUK PEMBANGUNAN KANAK-KANAK

Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan (MOE) merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Dr Muhammad Faishal Ibrahim, kegiatan seperti itu juga membentuk pembangunan kanak-kanak ini.

Beliau menekankan: "Ia akan membentuk peribadi mereka, watak mereka, kelakonan mereka, di mana mereka bukan saja boleh membangun sebagai seorang individu yang pandai, intelek, tetapi mempunyai jati diri Melayu dan ini adalah satu aspek keunikan masyarakat Singapura."

Dr Faishal menambah bahawa wadah sebegitu penting dalam memberikan ruang dan peluang bagi ibu bapa turut serta dalam pembelajaran anak-anak mereka.

Lantaran itu, PPIS menyatakan karnival itu diharap dapat dilanjutkan pada tahun-tahun mendatang selaras dengan visi pemerintah untuk memperkasakan landskap pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda di peringkat prasekolah.

"Ini adalah sebahagian usaha kami daripada program menyeluruh dalam memupuk penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar pusat prasekolah kami.

"Ia dapat menggalakkan pelibatan orang tua ataupun keluarga mereka dalam menyokong anak-anak ini untuk cinta terhadap bahasa dan budaya Melayu kita," ujar Presiden PPIS Rahayu Mohamad.

Karnival itu juga disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC). 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan