Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

400 sukarelawan masjid, belia berbilang agama raikan Hari Rahmatan Lil Alamin

Sempena sambutan Hari Rahmatan Lil Alamin hari ini (22 Okt), 300 sukarelawan daripada 70 buah masjid mengagih-agihkan hamper makanan kepada 100 keluarga memerlukan di kawasan Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena sambutan Hari Rahmatan Lil Alamin hari ini (22 Okt), 300 sukarelawan daripada 70 buah masjid mengagih-agihkan hamper makanan kepada 100 keluarga memerlukan di kawasan Woodlands.

Sesuai dengan semangat RLAF, usaha tersebut turut disertai lagi 100 belia pelbagai bangsa dan agama.

Sebelum jam 8.00 pagi lagi, ratusan sukarelawan pelbagai bangsa dan agama sudah berkumpul di pekarangan Masjid Yusof Ishak ini dengan satu niat.

Iaitu, menzahirkan komitmen mereka kepada perpaduan dan keharmonian Singapura, sebagai meraikan Hari RLAF ke-12.

Pertama, dengan menyertai acara Jalan Harmoni ini sejauh dua kilometer.

Kemudian, mereka secara bergotong royong membahagi-bahagikan 100 hamper makanan kepada keluarga berpendapatan rendah di Blok 569A Champions Way di Woodlands.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang menyertai acara ini, menekankan betapa ini membuktikan bahawa Islam adalah agama pembawa rahmah di peringkat negara, dengan masjid selaku penggeraknya.

"Ini menunjukkan bahawa Islam sebagai satu agama itu membawa rahmah kepada semua dan pada hari ini kita berjalan dan pada masa yang sama kita berkongsi apa yang kita ada dengan keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan tidak kira bangsa dan agama.

"Saya rasa ini adalah satu cara untuk kita hidupkan nilai-nilai Islam di peringkat nasional," katanya.

RLAF BERI GERAN HAMPIR $1 JUTA BAGI PROJEK OLEH BELIA

Atas semangat yang sama juga, RLAF sudah mengeluarkan lebih S$900,000 dalam bentuk geran untuk pelbagai projek masyarakat dan kemanusiaan, antara tahun 2009 hingga 2016.

Kesemuanya dijalankan oleh golongan belia dan 47 projek sudah dilaksanakan.

Tahun ini, lebih banyak lagi dana akan diperuntukkan untuk tujuan yang sama.

"Pada tahun ini kami telah memberikan geran sebanyak hampir $200,000 untuk projek-projek belia.

"Sejak 2009 jumlahnya sekarang hampir $1 juta untuk 60 projek jadi untuk masa hadapan kami mengharapkan projek-projek mempunyai lebih kualiti dan mampu memberikan kesan dan impak kepada penerima sama ada masyarakat setempat ataupun di luar negara," kata Encik Izhar Roslan, Pengurus Kanan Pembangunan Keupayaan.

Tiga kumpulan belia yang diberikan geran pada tahun ini termasuk projek Cili Padi Akademi 2.0 dari Kolej Yale-Nus, projek Meraki daripada Persatuan Pelajar NTU Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan FRENZ 2017 daripada Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

PROJEK SOKONGAN RLAF SATUKAN BELIA DI NEGARA BERBEZA

Para belia yang terlibat akur bahawa geran yang diberikan oleh RLAF bukan sahaja membantu memperkasakan diri mereka sendiri, malah memberikan kesan terhadap belia lain.

"Saya rasa geran ini benar-benar membantu pasukan kami dalam menyatukan belia yang berbeza dari rantau-rantau yang berbeza seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia, dan membawa mereka bersama untuk membentuk sebuah komuniti di mana mereka boleh belajar di antara satu sama lain," kata Cik Heather Lim, seorang anggota projek Cili Padi Akademi 2.0.

Bagi Cik Nursyahiirah Ismail, seorang pegawai eksekutif Majulah Community, geran yang mereka dapati daripada RLAF dikatakan akan dapat terus membantu remaja tempatan khususnya pelajar madrasah.

"Dengan geran ini, mereka dapat terus berbakti kepada masyarakat dan juga untuk mereka mengambil rasa pemilikan bagi projek-projek yang kami akan menjadi rakan kongsi bersama dengan mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, pelbagai usaha RLAF akan dijalankan di enam kelompok masjid, yang merangkumi 70 masjid di serata negara, dari 1 Oktober ini hinggalah September tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan