Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 warga Vietnam yang 'lancong' ke S'pura untuk curi, dijel

Empat warga Vietnam yang mencuri lebih 1,400 helai pakaian dari kedai-kedai Uniqlo dijatuhi hukuman penjara.

Anggaran Waktu Membaca:
4 warga Vietnam yang 'lancong' ke S'pura untuk curi, dijel

Pakaian dalam dan barang-barang lain dari Uniqlo antara 800 barang yang dirampas. (Gambar: Fann Sim)

Diterbitkan : 18 Dec 2018 10:55AM Dikemas Kini : 18 Dec 2018 10:57AM

SINGAPURA: Empat warga Vietnam yang mencuri lebih 1,400 helai pakaian dari kedai-kedai Uniqlo dijatuhi hukuman penjara.

Van Tu Nguyen, 30 tahun, Duong Tuan Dat, 27, dan Nguyen Thi Thu Huong, 31, masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun 11 bulan pada Isnin (17 Dis).

Pesalah keempat, Tran Thi Phuong Thao, 29, dijatuhi hukuman penjara setahun 10 bulan.

Pakaian-pakaian yang dicuri, termasuk beratus-ratus coli, yang bernilai sekitar S$44,600.

Mahkamah diberitahu, warga-warga Vietnam itu - dua lelaki dan dua wanita - berkomplot untuk datang ke Singapura dan mencuri dari cawangan-cawangan Uniqlo kerana mereka tidak memerlukan visa untuk ke negara ini. Niat mereka adalah menjual pakaian-pakaian yang dicuri di Vietnam.

Mereka menyasarkan Uniqlo kerana mereka mendapat khabar bahawa banyak pakaian yang dijual di kedai itu tidak mempunyai tag sensor, kata Timbalan Pendakwa Raya Shana Poon.

Bagi mengelak bunyi penggera di kedai-kedai, mereka menyiapkan beberapa beg beli-belah khas dengan lapik aluminium untuk membawa keluar barang-barang itu dari kedai. Mereka juga ke negara ini dengan bagasi kosong untuk menyimpan barang-barang yang dicuri.

Playar dan peralatan lain untuk membuka tag-tag sensor, disimpan dalam bilik-bilik hotel mereka.

Empat pencuri itu datang ke Singapura dengan pas lawatan sosial pada 13 Sep lalu.

Dua hari kemudian, mereka ke cawangan Uniqlo di Downtown East dan mencuri 50 helai pakaian musim sejuk bernilai S$4,995.

Pengurus kedai menelefon polis, sambil mengatakan bahawa seseorang mencuri "banyak barang", dan seorang kakitangan cuba mengejar mereka tetapi pesalah menaiki sebuah bas dan berjaya melarikan diri.

Polis memberkas empat suspek pada 16 Sep di Hotel Re di Chin Swee Road, di mana mereka menemui 818 helai pakaian bernilai sekitar $21,600 dan satu kunci Hotel 81.

Siasatan mendapati bahawa pakaian-pakaian dicuri dari beberapa cawangan Uniqlo di Singapura. Kumpulan itu, bagaimanapun, tidak ingat cawangan mana mahupun tarikh mereka melakukan kesalahan itu.

Beberapa hari kemudian, polis menyiasat satu bilik di Hotel 81 dan menemui empat bagasi yang mengandungi 636 helai pakaian bernilai sekitar S$23,000.

Siasatan mendapati kumpulan itu memindahkan sebahagian barang-barang yang dicuri dari satu hotel ke hotel lain supaya tidak mudah disyaki. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan