Images
  • ganja
    Ganja dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands. (Gambar: Biro Narkotik Pusat (CNB)) 

3 lelaki diberkas, 3.2kg ganja dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands

SINGAPURA: Tiga lelaki diberkas dan 3.2 kilogram ganja dirampas dalam insiden berasingan di Pusat Pemeriksaan Woodlands. Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam satu kenyataan bersama pada hari Jumaat (13 Jul).

Dalam insiden pertama, yang berlaku pada Rabu (11 Jul) sekitar 11.15 malam, seorang penduduk tetap Singapura berusia 71 tahun diberkas selepas para pegawai menemui empat bungkusan ganja di dalam keretanya.

Seorang pegawai ICA mengarahkan kereta yang berdaftar di Malaysia itu supaya menjalani pemeriksaan lanjut, di mana para pegawai kemudian menjumpai empat bungkusan yang dibalut dan disembunyikan di dalam sebuah beg.

Bungkusan-bungkusan itu kemudian didapati mengandungi seberat 204 gram ganja, dianggarkan bernilai sekitar S$2,000.

Sejam kemudian, seorang pegawai pemeriksaan mengarahkan sebuah lagi kereta untuk pemeriksaan lanjut.

Para pegawai menjumpai satu bungkusan yang dibalut dengan aluminium dalam sebuah beg di dalam kereta. Ia mengandungi sekitar 3 kilogram ganja, yang dianggarkan bernilai S$30,000.

Pemandu lelaki berusia 67 tahun itu dan penumpang lelaki berusia 38 tahun, kedua-dua rakyat Singapura, diberkas.

Kedua-dua kes tersebut sudah dirujuk kepada CNB, dan siasatan sedang dijalankan.

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, mereka yang terbabit dengan pengedaran lebih 500 gram ganja boleh dijatuhi hukuman mati.

- CNA/NA/na

Top