Images
  • nabil nabilah 1
    Buku-buku dalam siri terbaru Nabil Nabilah ditulis oleh 20 guru Bahasa Melayu. (Gambar-gambar: Zulaikha Zulkiflee/BERITAMediacorp)

20 judul siri bacaan Nabil Nabilah Darjah 3 dan 4 dilancarkan di Fiesta Bahasa 2018

SINGAPURA: Sempena Fiesta Bahasa keempat tahun ini, siri bacaan Nabil Nabilah Darjah 3 dan 4 dilancarkan siang tadi (7 Jul) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Acara tersebut diadakan di dewan serbaguna Canopy@J-Link yang terletak bersebelahan dengan Perpustakaan Daerah Jurong.


Buku-buku dalam siri terbaru Nabil Nabilah ditulis oleh 20 guru Bahasa Melayu.

Penghasilan siri bacaan itu dialu-alukan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Kali ini kita mendekati lebih daripada 15 guru dan ini meningkatkan bilangan guru yang menulis ke 38. Jadi ini adalah pembangunan yang baik. Apabila saya berjumpa dengan guru-guru tadi, mereka rasa terharu dapat peluang menulis," kata Dr Faishal.

Tambah beliau, usaha tersebut sekaligus memberi peluang kepada para pelajar untuk mempelajari nilai-nilai kebudayaan dan kehidupan di Singapura melalui jalan-jalan cerita yang mempunyai latar belakang tempatan.

'NABIL NABILAH' SEBAGAI IKON S'PURA UNTUK DICONTOHI PELAJAR

Siri bacaan Nabil Nabilah adalah lanjutan kepada siri pertama yang dihasilkan pada tahun 2015 untuk pelajar Darjah 1 dan 2.


Dengan maklum balas positif daripada para guru dan pelajar, Dr Faishal berharap watak adik-beradik Nabil dan Nabilah ini dikenali sebagai ikon Singapura yang dapat menjadi contoh yang baik kepada kanak-kanak tempatan.

PERANAN GURU PENTING DEMI MEMUPUK CINTA TERHADAP MEMBACA

Guru-guru mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat untuk menyuntik rasa cinta kepada para pelajar dalam pembelajaran Bahasa Melayu, menurut Cik Rashidah Abdul Rasip, Pengetua Sekolah Rendah Hougang dan Ahli MLLPC.

"Dengan penghasilan ini, guru-guru juga menjadi tauladan yang baik untuk murid-murid mereka kerena menunjukkan kesungguhan mereka menghasilkan buku-buku yang berkualiti," tambah Cik Rashidah.


Siri bacaan ini juga diharapkan sekaligus mendedahkan para pelajar kepada kosa kata yang baik demi membantu mereka menguatkan lagi penguasaan Bahasa Melayu.

Bagi memeriahkan lagi suasana di acara tersebut, sebuah lagu yang ditulis khas untuk siri Nabil Nabilah dipersembahkan oleh Duta Bahasa 2017 Dzar Ismail bersama penyayi cilik, Shah Riszuan.

Pameran buku-buku Nabil Nabilah, aktiviti-aktiviti pembelajaran dan sesi-sesi bercerita oleh watak Nek Selampit dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) juga diadakan.

Sekitar 800 orang menghadiri acara pelancaran tersebut termasuk para guru, pelajar dan ibu bapa.  

- BERITAMediacorp/ZZ/hs

Top