Images
  • blind spot
    Sistem pengensan bahagian tak peka (blind spot) pemandu bas. (Gambar: CNA)

20 bas awam di S’pura uji sistem amaran ‘blind spot’

SINGAPURA: Sebanyak 20 bas awam di Singapura kini dilengkapi dengan sistem amaran bahagian tak peka (blind spot) sebagai ujian selama enam bulan, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) semasa sesi demonstrasi ciri baru tersebut semalam (16 Apr).

Sistem amaran kenderaan bijak itu, yang dihasilkan oleh Singapore Technologies (ST) Kinetics, memberi amaran kepada pemandu bas awam jika terdapat kenderaan, pengayuh basikal atau pejalan kaki yang menghampiri bahagian tak peka semasa memandu.

Bermula semalam, 20 bas daripada kesemua empat pengendali bas awam di Singapura – Go Ahead Singapore, SBS Transit, SMRT Corporation dan Tower Transit Singapore – sedang menguji ciri baru ini. Sepuluh daripadanya adalah bas dua tingkat dan 10 lagi bas biasa.

Sistem tersebut, yang dikenali sebagai Integrated Smart Advanced Warning Unit (I-SAW-U) terdiri daripada empat kamera dan enam sensor yang dipasang pada bahagian depan, belakang dan di atas bas-bas tersebut.

Encik Lewis Tan, ketua jurutera ST Kinetics, berkata sistem tersebut membolehkan pada pemandu untuk memerlahankan kenderaannya dan berhenti bagi mengelakkan sebarang perlanggaran.

“Kami mahu meningkatkan tahap kepekaan mereka terhadap keadaan sekeliling. Dengan itu, kami akan membantu untuk mempertingkatkan keselamatan pemandu dan penumpang,” kata beliau.

Encik Tan turut berkata bahawa sekurang-kurangnya 40 pemandu daripada keempat-empat pengendali bas awam sudah dilatih untuk menggunakan sistem baru itu.

Encik Amzan Tumin, seorang pemandu bas dengan syarikat Go-Ahead Singapore, berkata meskipun beliau memerlukan masa untuk mempelajari cara menggunakan sistem itu, beliau merasakan ia “tidak sukar” untuk digunakan. Beliau sudahpun menggunakan sistem berkenaan sebanyak dua kali.

Encik Tan turut menarik perhatian bahawa pasukannya sedang berusaha untuk mempertingkatkan lagi sistem amaran I-SAW-U.

“Dalam fasa ini, kami sedang mengumpul maklum balas dan data untuk memperbaiki sistem, ia adalah usaha yang berterusan untuk mempertingkatkannya,” kata beliau.

Ujian bagi membuktikan konsep ini dibiayai oleh LTA dan ST Kinetics. Menurut LTA, ia akan menyemak semula hasil percubaan tersebut sebelum membuat keputusan seterusnya.

Pihak berkuasa turut menambah bahawa ia akan terus mempertingkatkan teknologi bagi menjaga keselamatan pemandu dan penumpang.  

- CNA/FA/fa

Top