Images
  • checkpoint cig
    (Gambar: ICA)

2 warga Indonesia dipenjara kerana cuba seludup rokok tanpa cukai

SINGAPURA: Dua lelaki warga Indonesia dihukum penjara hari ini (14 Jun) kerana cuba menyeludup 133 karton rokok yang tidak dibayar cukai, yang dijumpai di dalam sebuah tongkang di Terminal Brani pada Rabu.

Bahril, 28 tahun, dijatuhkan hukuman 14 minggu penjara manakala Naudin, 26 tahun dihukum 10 minggu penjara, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan.

Rokok-rokok tersebut disembunyikan dalam beberapa bahagian tongkang berkenaan, yang digunakan untuk membawa kontena. Para pegawai ICA dan polis menemuinya semasa melakukan pemeriksaan pada sebuah bot kecil yang menarik tongkang tersebut sekitar 1.00 pagi.

Nilai cukai yang dielak mencecah S$15,400, manakala cukai GST yang cuba dielak bernilai sekitar S$1,100.

"ICA akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas penumpang dan kenderaan di pusat-pusat pemeriksaan, untuk mematahkan percubaan menyeludup orang yang tidak diingini, dadah, senjata, bahan letupan dan barang-barang haram.

"Cara menyembunyikan barangan haram oleh penyeludup boleh juga digunakan pengganas untuk membawa masuk senjata dan bahan letupan untuk melancarkan serangan ke atas Singapura," tambah ICA.

- CNA/TQ/tq

Top